Tuesday, March 12, 2013

CJ Bio Sasar Kilang Bio-Metionina Mula Operasi Suku Pertama 2014


CJ Bio Malaysia Sdn Bhd menyasarkan kilang bio-metioninanya yang terletak di Taman BioPolimer Kertih, Terengganu, akan memulakan operasi pada suku pertama 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif John Kang berkata, kilang itu dengan kapasiti 80,000 tan metrik setahun, dijangka menghasilkan produknya bermula April 2014.

Menelan kos RM2 bilion, kilang itu merupakan yang pertama di dunia yang menggunakan proses fermentasi dalam menghasilkan L-metionina, sejenis asid amino yang biasa digunakan dalam mengeluarkan makanan haiwan.

"Sebab mengapa kami mahu membina kilang di Malaysia ialah sebagai laluan untuk menembusi pasaran yang pesat berkembang yang lain seperti China dan Asia Tenggara. Itulah pasaran-pasaran utama kami dan yang pastinya, kami juga akan menembusi pasaran Eropah.

 "Kami juga berharap mendapatkan harga bekalan tenaga yang mampan dan berpatutan iaitu wap (stim) dan elektrik," kata beliau  dalam satu temubual.

CJ Bio, unit kepada CJ CheilJedang, Korea, merupakan peneraju dunia dalam bidang bioteknologi perindustrian dengan inovasi fermentasi dan penulenan. Ia juga merupakan pengeluar utama produk berasaskan fermentasi dengan operasi perniagaan di enam benua.

Kang berkata kemudahan bersepadu itu, hasil kerjasama dengan syarikat Perancis, Arkema untuk platform "thiochemicals"nya, akan membolehkan CJ Bio menampung permintaan menggalakkan untuk metionina itu.

Daripada jumlah pengeluaran, beliau berkata lebih daripada 95 peratus akan dieksport ke seluruh dunia, sambil menjelaskan yang pasaran utama pada masa ini ialah China, Asia dan Eropah, manakala Asia Tenggara dan Amerika Selatan ialah pasaran yang berkembang.

Menurut Kang, CJ Bio pada masa ini sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan University of Kuala Lumpur untuk membangunkan program pendidikan bersama mengenai bioteknologi.

 "Teknologi fermentasi perindustrian ialah industri baharu di Malaysia dan perlu ada kepakaran. Dalam usaha mewujudkan bioteknologi perindustrian di Malaysia, kita perlu mempunyai pekerja yang mahir dan pakar. "Kami mahu memastikan pekerja Malaysia boleh dilatih dan mendapat kepakaran dan seterusnya menjadi pekerja yang paling produktif untuk kami," kata beliau.

Kang turut memaklumkan yang Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah membantu CJ Bio dalam menyediakan sokongan penting bagi memastikan syarikat bersedia untuk beroperasi seperti yang dijadualkan.

MIDA telah membantu dari segi isu peraturan, merapatkan jurang antara pembekal dengan rakan perniagaan di Malaysia, dan membina hubungan dengan pihak berkuasa tempatan, katanya sambil menambah yang sokongan agensi itu penting kepada kejayaan CJ Bio di Malaysia

No comments:

Post a Comment