Dua keluarga yang terdiri daripada anak beranak tinggal sehelai sepinggang setelah dua kediaman yang terletak bersebelahan di Kampung Gong Tebu, Darau, Hulu Besut dekat sini musnah dalam kebakaran kelmarin.
Kebakaran berlaku kira-kira 2 petang menyebabkan kedua-dua buah rumah papan kepunyaan seorang petani Mat Hassan Ibrahim, 58, dan rumah ayahnya, Ibrahim Yaakob, 82, hangus terbakar dan mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000.
Mat Hassan ketika ditemui di kediamannya hari ini berkata ketika kejadian beliau baru balik menunaikan sembahyang Jumaat dan sampai di rumahnya mendapati api telah marak membakar rumahnya sebelum melarat ke rumah ayahnya.
"Ketika itu anak sulung pak cik, Syafik Rusdi (lelaki) balik lebih awal dan terus berteriak memaklumkan kepada emaknya (isteri Mat Hassan) untuk menyelamatkan diri.
"Pak cik sekeluarga tidak sempat menyelamatkan perkakas rumah termasuklah barang kemas isteri bernilai RM15,000 dan wang tunai RM3,000 serta dokumen penting seperti kad pengenalan dan surat beranak serta geran tanah," katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Bapa kepada tiga anak berumur 9 hingga 14 tahun ini berkata ketika kejadian, isterinya Mariam Mamat, 53, yang tinggal bersama seorang anak perempuannya, sedang mandi tanpa menyedari api telah membakar rumah bermula dari bahagian hadapan rumah.
Katanya api yang membakar rumahnya telah merebak ke rumah ayahnya yang bersebelahan melalui bangunan yang bersambung dengan rumahnya.
Bagaimanapun Mat Hassan sekeluarga serta ayah dan emaknya masih bertuah kerana mempunyai sebuah bangsal kecil di belakang rumahnya untuk berteduh malam tadi.
Sementara itu Ibrahim berkata sebelum kejadian beliau juga baru balik dari sembahyang Jumaat.
Katanya ketika kebakaran terjadi, isterinya tinggal berseorangan dan tertidur kepenatan setelah balik daripada menoreh getah dan memasak makanan tengah hari.
"Nasib baik anak lelaki saya (Mat Hassan) ada dan mengejutkan dia dari tidur untuk menyelamatkan diri.
"Pak Cik sudah tak ada tempat tinggal dan terpaksalah tidur dalam kereta anak malam tadi bersama isteri," kata Ibrahim yang sempat menyelamatkan beberapa barangan rumah seperti peti sejuk, almari dan tong gas.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah Besut, Hasmadi Jusoh ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan menerima panggilan 2.26 petang sebelum kenderaan bomba tiba 10 minit kemudian di tempat kejadian.
No comments:
Post a Comment