Sunday, March 24, 2013

Penduduk DUN Seberang Takir Terima Rawatan Percuma Mulai April 23


Kira-kira 40,000 penduduk sekitar Seberang Takir dalam Parlimen Kuala Nerus akan menikmati rawatan kesihatan percuma menerusi Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir yang beroperasi 1 April ini.

Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Takir Ahmad Razif Abd Rahman berkata pusat itu akan beroperasi setiap hari bagi membantu penduduk setempat terutama penghidap strok, kencing manis dan darah tinggi mendapatkan rawatan berkala.

"Pusat ini akan menempatkan doktor dan pembantu perubatan dari Jabatan Kesihatan negeri," katanya kepada pemberita selepas Program Sehari Doktor Pakar Bersama Komuniti Seberang Takir, semalam.

Beliau berkata pihaknya akan menyediakan pengangkutan percuma kepada penduduk yang tidak mempunyai kenderaan sendiri untuk mendapatkan rawatan di situ.

Seorang penerima rawatan, Mohd Noor Daud, 49, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan yang menubuhkan pusat itu bagi membantu penduduk setempat.

"Kami tidak perlu lagi ke klinik yang jauh-jauh kerana sekarang, doktor pakar sudah berada dekat dengan kawasan ini," katanya.

Seorang lagi penerima rawatan, Siti Rokiah Ismail, 53, berkata dengan adanya pusat ini, penduduk kampung terutamanya warga emas, tidak perlu risau untuk mendapatkan rawatan kerana ada pengangkutan.

"Saya ini tidak larat sangat kerana menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi, tapi dengan adanya pusat ini dan program seperti ini, ia sangat membantu pesakit seperti saya untuk mendapatkan rawatan secara berkala," katanya.

No comments:

Post a Comment