Zolkeples (kiri) memerhati pingat yang dimenangi oleh Josiah (tengah) dan Fatehah pada ACC 2013 di New Delhi, India. Kedua-dua pelumba itu tiba di KLIA semalam. |
Untuk merealisasikan hasratnya itu, dia akan terus bekerja keras bagi meningkatkan prestasinya pada tahap tertinggi.
Fatehah melakar sejarah tersendiri apabila memenangi pingat emas dalam acara pecut 200 meter pada Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2013 yang berakhir di New Delhi, India minggu lepas.
Ini merupakan pingat emas kedua bagi pelumba berusia 24 tahun itu di pentas Asia selepas dia berjaya melakukannya pada edisi 2012 di Kuala Lumpur dengan menjuarai acara keirin, sekali gus muncul pelumba wanita pertama negara menyumbang emas pada kejohanan tersebut.
Fatehah yang tiba di Kuala Lumpur pagi semalam memberitahu, sasarannya untuk memenangi emas pada Piala Dunia Klasik amat penting dalam misinya mengumpul mata kelayakan untuk beraksi pada Kejuaraan Trek Dunia di Cali, Columbia tahun depan.
"Sasaran saya selepas ini adalah untuk memenangi pingat emas pada Piala Dunia Klasik kerana sebelum ini, pencapaian terbaik saya hanyalah layak ke final sahaja (acara keirin) pada kejohanan tersebut.
"Lagi pun, penyertaan saya pada Piala Dunia Klasik ini bukan hanya sekadar untuk menambah koleksi emas, sebaliknya ia juga merupakan misi peribadi saya untuk mengumpul mata sebanyak mungkin untuk layak menyertai Kejohanan Dunia tahun depan dan Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro," kata Fatehah ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pagi semalam.
Fatehah kini mula dilabel sebagai pelumba pecut wanita terbaik wanita ketika ini selepas melakar sejarah baharu dengan memenangi pingat emas acara keirin pada ACC 2012 yang berlangsung di Kuala Lumpur tahun lepas.
Pencapaian pelumba kelahiran Hulu Terengganu itu tidak berakhir begitu sahaja, sebaliknya dia sekali lagi membuktikan potensinya sebagai antara pelumba yang perlu diberi perhatian setelah memenangi satu lagi pingat emas pada ACC 2013 di New Delhi minggu lepas, kali ini dalam acara pecut.
Dia yang turut menyumbang pingat perak dalam acara keirin dan gangsa bagi acara 500m ujian masa, mengakui agak terkejut dengan pencapaiannya yang disifatkan ketua jurulatih, John Beasley sebagai kejayaan yang menakjubkan meskipun masih dihimpit kecederaan belakang sejak awal tahun lalu.
Mengenai perancangannya selepas ACC 2013 ini, Fatehah berkata: "Saya akan menyertai Kejohanan Grand Prix Malaysia pada April dan Julai depan sebelum beraksi dalam Piala Dunia Klasik.
"Bagaimanapun, sebelum itu saya akan pulang dahulu ke Melbourne pada 21 Mac ini bagi mendapatkan rawatan ke atas kecederaan belakang saya."
Kosmo!
No comments:
Post a Comment