Thursday, March 14, 2013

Kanak-Kanak 12 Tahun Perlu Buah Pinggang Baru

Sewaktu di zaman kecilnya kanak-kanak ini begitu comel, periang dan kelincahannya sentiasa menghiburkan keluarga, malah selalu mendapat perhatian kerana dia juga merupakan anak bongsu daripada tujuh beradik.

Bagaimanapun, keadaan bertukar sebaliknya selepas Muhammad Nor Firdaus Mohd, 12, memasuki usia sembilan tahun, apabila dia disahkan menghidap penyakit buah pinggang yang kini semakin kronik dan memerlukan penderma organ itu.


Akibat serangan penyakit itu juga, aktiviti harian murid dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Kerengga itu agak terbatas kerana perlu menjalani rawatan hemodialisis di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan, Pahang sekali dalam sebulan.

Ibunya, Zaimah Deraman berkata, anak bongsunya juga perlu menjalani rawatan penyucian darah lapisan peritoneum (CAPD) di rumah yang memerlukan cecair dimasukkan ke dalam perutnya paling kurang empat kali sehari.

Zaimah merayu mana-mana individu mempunyai darah jenis B campur dan mahu menderma buah pinggang untuk anaknya dengan menghubungi keluarga itu di talian 013 9382970 atau talian wartawan daerah, 019 9391370.

Zaimah yang menetap di Alur Tuman berkata, dia lega kerana rawatan CAPD dapat dilakukan sendiri tanpa memerlukan anaknya dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu sekali gus menjimatkan belanja.

“Keluarga kami kini bergantung pada pencarian suami yang hanya mahir dalam kerja-kerja pertukangan kayu dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan.

Mujurlah anak kami tidak dikenakan sebarang bayaran untuk rawatan hemodialisis. “Malah ubat rawatan untuk mencuci buah pinggang juga disediakan dan kami hanya perlu mengambil ubat itu di Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu dengan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Zaimah berkata, selain bergantung kepada pendapatan suami, anaknya, Muhammad Nor Firdaus juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM200 sebulan meringankan beban mereka.

Menurutnya, walaupun anak bongsunya itu dapat menjalani kehidupan dengan baik dengan segala bantuan disediakan, tetapi mereka tetap bimbang kerosakan buah pinggang akan menjadi semakin teruk sekali gus menjejaskan masa depan anaknya.

No comments:

Post a Comment