Sunday, March 17, 2013

Gambar 'Intim Anwar' Dengan Lelaki - PKR Anggap Perbuatan Jahat

 

Pendedahan terbaru 13 keping gambar memaparkan 'aksi mesra' seorang lelaki mirip Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang lelaki tidak mendatangkan kebimbangan kepada PKR.
 
Naib Presidennya, N. Surendran berkata, ia hanya satu lagi siri fitnah dengan niat jahat yang cuba dipalitkan ke atas ketua pembangkang itu dan akan menjadi "bahan ketawa" umum.
 
"Saya sendiri tidak berminat untuk melihat gambar dan video lucah ini, saya kira rakyat pun tidak berminat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

 
Beliau diminta mengulas penyebaran 13 keping gambar lelaki mirip Anwar dengan seorang lelaki lain sedang melakukan adegan mesra, di blog-blog pro-Umno.

"Ini memang sekali lagi angkara jahat yang ditaja oleh Umno sendiri dan kita tak perlu melihat pun gambar-gambar lucah dan fitnah ini," katanya lagi.

Blog http://rajagoyang360.blogspot.com ini memuat naik gambar-gambar berkenaan kelmarin menerusi entri pertamanya. Pemblog Papa Gomo turut memuatkan link blog berkenaan di lamannya.

Sehubungan itu, Surendran menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengenakan tindakan tegas kepada pihak yang bertanggungjawab menyebar gambar tidak bermoral kerana ia salah di bawah undang-undang negara ini.

"Saya minta polis segera jalankan tugas," ujar beliau sambil berkata, fitnah terbaru ini tidak akan menggugat peluang Pakatan Rakyat dalam pilihan raya yang akan datang.

Penyebaran gambar itu dilihat satu lagi siri 'serangan' ke atas Anwar seminggu selepas bapa Mohd Saiful Bukhari Azlan membuat kenyataan mempertahankan Ketua Pembangkang itu.

Blog http://rajagoyang360.blogspot.com yang baru memuatkan satu sahaja entri di blog berkenaan memaparkan 13 gambar perlakuan intim seorang lelaki mirip Anwar dan seorang lelaki lain.

Tidak menulis nama Anwar di dalam blog itu, namun gambar-gambar yang dipaparkan lebih difokuskan ke arah lelaki yang mirip Anwar berbanding seorang lagi lelaki dalam gambar berkenaan

Seperti sebelum-sebelum ini gambar "Anwar" lebih jelas seolah-olah kamera dihala untuk merakam wajah Ketua Umum PKR itu. Sebanyak 13 keping gambar yang menunjukkan beberapa aksi bermula ketika 'Anwar' tiba dan 'bermesra' dengan seorang lelaki di dalam sebuah premis itu ditandakan sebagai "part 1".

Entri bertajuk "Aksi Si Raja Goyang" yang merujuk kepada Anwar itu dimuat naik pada 14 Mac dan telah menerima lebih 170 komen sehingga semalam.

Blogger terkenal Papa Gomo turut memuat naik entri berkenaan dan menghubungkan link ke http://rajagoyang360.blogspot.com bagi melihat artikel asal.

Anwar pada 2011 pernah dikaitkan dengan sebuah video lucah seorang lelaki mirip dirinya dengan seorang wanita yang ditayangkan di Carcosa Seri Negara oleh kumpulan yang menggelarkan diri sebagai Datuk T.

Anwar menafikan lelaki dalam video itu adalah dirinya mendakwa ia satu rekayasa jahat musuh politik beliau. Datuk T kemudian melakukan sumpah laknat bagi membuktikan individu dalam video berkenaan adalah Anwar.

Anwar sebelum itu juga pernah dikaitkan dengan kes liwat membabitkan bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada awal tahun lalu bagaimanapun membebas dan melepaskan Anwar daripada tuduhan tersebut.

Pada 8 Mac lalu, Azlan mendakwa tuduhan liwat yang dikenakan ke atas Anwar adalah fitnah dan pihak tertentu telah menggunakan anaknya bagi tujuan itu.

No comments:

Post a Comment