Monday, March 4, 2013

Helah Larikan Tabung Derma Dari Masjid Tak Menjadi


"Saya bukan mahu ambil duit (tabung derma) tapi mahu tolong kutip derma." Demikian kata-kata seorang lelaki berusia 48 tahun selepas berjaya ditangkap penduduk ketika cuba melarikan tabung derma kebakaran dari Masjid Rusila di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.45 pagi itu, lelaki yang beralamat di Taman Rashidah, Rhu Renggeh, Marang itu berjaya ditangkap orang ramai yang kebetulan berada sekitar kawasan masjid yang turut dikenali sebagai Masjid Tok Guru Haji Hadi.


Pada mulanya, suspek tinggi lampai memakai kaca mata dikatakan mundar mandir dalam kawasan pekarangan masjid sebelum cuba melarikan tabung derma kebakaran yang berisi wang tetapi gagal apabila perbuatannya disedari pengawal masjid.

Difahamkan, ketika pengawal masjid tersebut bersama rakannya cuba menangkap suspek berlaku pergelutan, sehingga menarik perhatian orang ramai yang kebetulan baru sahaja selesaimenjalankan perniagaan di kawasan berdekatan masjid.

Akibat pergelutan itu suspek mengalami kecederaan pada anggota badan dipercayai akibat dipukul orang ramai yang cuba memberkasnya. Malah bagi meraih simpati agar tidak terus disakiti, suspek terbabit mengaku dirinya mengidap penyakit HIV.

Dia yang separuh sedar di atas tanah berdekatan dengan rumah penduduk dekat masjid itu, kemudiannya diserahkan kepada polis yang tiba di tempat kejadian selepas dihubungi ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

Salah seorang ahli jawatankuasa masjid yang enggan dikenali memberitahu, lelaki terbabit juga melakukan perkara sama pada minggu lalu apabila melarikan sejumlah wang milik peniaga yang menjalankan perniagaan di luar kawasan masjid.

“Pencuri sama disyaki melarikan sejumlah wang milik peniaga di sini minggu lalu, dan ketika itu dia berjaya melepaskan dirinya, namun kali ini kedatangannya ke masjid untuk melakukan jenayah yang sama berjaya dihidu,” katanya.

No comments:

Post a Comment