Monday, March 4, 2013

Ibu Kesal Guru Pukul Anak Dengan Kasut

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang ke atas guru wanita yang memukul anak saya agar kes ini menjadi pengajaran kepada semua," kata Nurul Fadila Mohd, 27, ibu kepada adik Ahmad Fairuz Daniel Mohd Fauzi, 9, murid tahun tiga yang dipukul guru wanita dengan kasut.

Nurul Fadila berkata, sebagai ibu, dia amat sedih dengan kejadian tersebut kerana seorang guru yang sering digambarkan mempunyai sifat kasih sayang tidak sepatutnya memukul seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun dengan kasut.

Menurutnya, dia juga kesal kerana sejak peristiwa itu, guru atau ahli keluarga guru berkenaan tidak berjumpa dengannya bagi menyelesaikan perkara itu.

Sehingga kini difahamkan, pihak berkenaan masih belum mengambil tindakan disiplin terhadap guru terbabit, biarpun laporan polis sudah dibuat ke atas suspek yang difahamkan mengajar di kawasan berkenaan.

Ibu kepada dua anak itu berkata, sejak peristiwa itu, emosi anak sulungnya yang turut menghidap penyakit buah pinggang terjejas dan enggan meneruskan persekolahan.

“Anak saya minta ditukarkan ke sekolah lain dan tidak mahu ke sekolah itu sekiranya guru wanita berkenaan masih lagi mengajar di sekolah tersebut.

“Sejak kejadian itu, dia kini jadi takut, tak banyak bercakap, kesihatannya juga mungkin terjejas kerana sebelum ini dia sering keluar masuk wad untuk menerima rawatan atas penyakit dialaminya itu," katanya.

Oleh itu, dia berharap agar pihak jabatan memberi perhatian terhadap isu ini untuk memberi pengajaran kepada semua guru agar bertindak rasional sekiranya ingin menghukum murid.

Dalam kejadian minggu lalu, Ahmad Fairuz Daniel didakwa dipukul seorang guru wanita menggunakan kasut selain ditumbuk di bahagian perut.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek apabila wujud salah faham antara mangsa dengan anak lelaki guru wanita tersebut.

Akibat kejadian itu, mangsa yang sebelum ini pernah dimasukkan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan Hospital Kemaman akibat penyakit buah pinggang, mengalami kecederaan di bahagian muka selain sakit di bahagian perut.

Satu laporan polis turut dibuat di Balai Polis Ketengah Jaya berkaitan kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment