Kerajaan negeri bercadang menaiktaraf semua jalan utama khususnya laluan pantai dari Kemaman ke Kuala Terengganu menjadi empat lorong dalam tempoh tujuh tahun lagi.
Pembinaan infrastruktur dimulakan secara berperingkat-peringkat sejak tahun lalu itu dilaksanakan berdasarkan kelulusan kewangan daripada Kerajaan Pusat.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata pihaknya mensasarkan pada 2020, Terengganu akan muncul sebagai negeri maju dengan siapnya kemudahan infrastruktur terutama jaringan jalan raya empat lorong yang serba lengkap dan selesa.
“Pada tahun ini kita berbelanja RM30 juta, berbanding tahun lalu RM10 juta untuk menaik taraf jalan dari kawasan Rantau Abang, Dungun yang kini sudah hampir siap sepanjang 3.5 kilometer, di mana lampu sudah dipasang serta dijangka selesai dua hingga tiga bulan lagi.
“Kerja-kerja baru menaiktaraf jalan akan dimulakan pada minggu ini sepanjang 11 kilometer yang melibatkan peruntukan RM30 juta di sekitar Beris Meraga, Kemaman, Bukit Bauk (Dungun) dan Rantau Abang hingga simpang berdekatan pusat penternakan lebah di Mercang, Dungun," katanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini
Menteri Besar berkata, pihaknya tidak dapat menetapkan tempoh khusus setiap projek itu dapat disiapkan sepenuhnya, bagaimanapun kerajaan negeri lebih mengutamakan jalan yang lurus terlebih dahulu berikutan menjimatkan kos, masa dan jarak lebih jauh.
Katanya, projek menaik taraf jalan itu juga mampu membangunkan lagi Terengganu sebagai negeri pelancongan dan meningkatkan kemasukan pelabur dari luar berikutan kemudahan jalan raya yang baik dan selesa.
Beliau berkata, jalan empat lorong yang sedang giat dibina di laluan pantai itu juga menjadi pilihan pengguna jalan raya khususnya pelancong yang mengakui lebih gemar menikmati keindahan panorama di laluan itu berbanding jalan alternatif Jerangau-Jabor untuk ke Kuala Terengganu.
Beliau berkata, apabila siap kelak, jarak perjalanan Kuala Terengganu-Kemaman juga lebih singkat dan hanya mengambil masa sejam berbanding dua jam setengah ketika ini.
Teganukita
No comments:
Post a Comment