Wednesday, March 13, 2013

Memasang Bendera Parti - Patuhi Larangan MBKT


Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) meminta semua parti politik agar mematuhi arahan untuk tidak memasang bendera parti di kawasan larangan seperti jambatan, bulatan dan kawasan persimpangan lampu isyarat.

Setiausaha MBKT, Samiun Salleh berkata, larangan itu telah dikeluarkan sebelum ini dan semua parti politik perlu akur untuk tidak memasang di kawasan yang ditetapkan, sama ada sekarang mahupun semasa kempen pilihan raya.

Menurutnya, pemasangan di tiga kawasan itu dilihat boleh menghalang dan menjejaskan pandangan pengguna jalan raya.

“Kita mohon kerjasama daripada semua pihak supaya tidak meletakkan bendera parti di kawasan yang telah disenaraikan sebagai kawasan larangan.

Sekiranya masih berdegil, kita (MBKT) tidak teragak-agak untuk menurunkan bendera tersebut,” katanya kepada Sinar Harian. Samiun berkata, larangan itu termasuk di kawasan masjid ataupun mana-mana tempat ibadat, premis milik Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta tiang lampu jalan.

Katanya, walaupun pilihan raya masih belum diumumkan lagi, namun pemasangan bendera parti semakin rancak dilakukan tetapi perlulah mematuhi larangan yang telah ditetapkan agar tidak timbul masalah.

Sementara itu, Ketua Bahagian Penguat Kuasa MBKT, Mohd Azmi Talib berkata, operasi telah diadakan pada minggu lalu di tiga jambatan di sekitar Kuala Terengganu iaitu di Jambatan Manir, Kuala Ibai dan juga di Kampung Tok Molor.

“Dalam tiga operasi tersebut, MBKT telah menurunkan hampir 600 bendera parti yang dipasang di kawasan larangan terutama di jambatan.

Kita sangat berharap kerjasama semua pihak. “Operasi akan diadakan secara berterusan selepas ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment