Mayat seorang pengganas yang mati ditembak di Kampung Tanduo, Lahad Datu. |
Laporan Kosmo! menyebut rata-rata pengganas Sulu yang ditahan oleh pasukan keselamatan sepanjang 25 hari Ops Daulat didapati tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah walaupun mereka mengakui beragama Islam.
Menurut sumber, perkara tersebut terbongkar apabila anggota keselamatan melakukan soal siasat terhadap pengganas-pengganas terbabit yang ditahan di daerah Semporna dan Lahad Datu sepanjang operasi itu.
Mayat pengganas Sulu yang di kumpulkan di Hospital Lahad Datu baru-baru ini. |
Soal siasat yang dijalankan mendapati rata-rata pengganas tersebut mengaku diri mereka beragama Islam.
“Bagaimanapun, apa yang mengejutkan, ada dalam kalangan mereka yang tidak tahu mengucap dua kalimah syahadah. “Tindakan itu membayangkan seolah-olah mereka yang terlibat ini tidak mempunyai asas dalam ilmu agama Islam,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Selain itu, anggota kumpulan pengganas tersebut yang ditahan dan terbunuh juga didapati memakai tangkal pada anggota badan mereka yang dipercayai boleh menjadikan mereka kebal ketika berdepan dengan pihak keselamatan.
Sebahagian besar pengganas Sulu yang maut dan diberkas pihak berkuasa didapati memakai pelbagai tangkal yang tertulis ayat khurafat di leher, lengan, tangan dan pinggang masing-masing yang dikatakan boleh menjadikan mereka kebal.
Mengulas lanjut, sumber itu memberitahu, berdasarkan soal siasat, anggota pengganas yang ditahan itu mendakwa mereka sanggup berperang dengan pasukan keselamatan Malaysia kerana ia dianggap jihad kepada ketua kumpulan pengganas Sulu, Jamalul Kiram III.
Sumber itu menjelaskan, seorang tahanan pengganas yang berusia 25 tahun bertindak membunuh diri di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau pada 15 Mac lalu didakwa bertindak demikian atas alasan sama iaitu jihad.
“Kita telah menahan bapa si mati di balai yang sama dan dia tidak sedih dengan tindakan anaknya itu malah berbangga dan kematian anaknya itu selain membuatkan dia lebih kuat,” katanya.
Difahamkan, bapa si mati merupakan seorang berpangkat panglima dalam kumpulan pengganas tersebut dan ditugaskan melakukan keganasan di daerah ini bersama anaknya.
Punca kematian suspek yang ditahan di bawah Seksyen 130(c) Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama dengan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak didedahkan.
Untuk rekod, setakat semalam, seramai 68 anggota pengganas Sulu terbunuh dalam Ops Daulat yang dilancarkan awal bulan ini manakala jumlah yang ditahan di bawah SOSMA ialah seramai 103 orang.
No comments:
Post a Comment