Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Tengku Putera Tengku Awang, berkata kempen itu sangat signifikan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang akan diadakan dalam masa terdekat.
"Ini adalah masa yang sangat tepat untuk veteran UMNO terus membantu parti dalam memberi penerangan, nasihat dan teguran penuh kasih sayang kepada anak cucu mereka yang mungkin terpedaya dengan dakyah pembangkang," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen itu di Hotel Prinzpark, Kuala Ibai dekat sini, hari ini.
Pada majlis itu juga, semua veteran UMNO yang hadir dibekalkan dengan pelekat dan poster 'Keluargaku Pengundi BN' untuk diagihkan kepada ahli UMNO di kawasan masing-masing.
"Pengagihan pelekat akan diedarkan kepada setiap rumah dan diharap ia akan ditampal di tempat sepatutnya sebagai tanda kebanggaan setiap ahli.
"Selain itu, bagi menyemarakkan semangat perjuangan parti kita dalam memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRU-13 kelak, golongan veteran juga perlu bersama-sama membantu kerajaan dengan memastikan setiap ahli keluarga menyokong dan mengundi BN pada hari pilihan raya nanti,” ujarnya.
Beliau yang jugaYang Di-Pertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yakin, dengan pelbagai bantuan dan tranformasi yang dilakukan kerajaan, rakyat akan terus memberi sokongan padu kepada parti BN dan Umno.
Tengku Putera berkata, pelekat dan poster ini yang diletak di rumah serta kereta penduduk secara langsung memberitahu pembangkang supaya tidak masuk ke kawasan terbabit.
"Sekarang ini adalah masa pakatan pembangkang melancarkan perang saraf dengan menyerang karakter pemimpin-pemimpin utama BN (Barisan Nasional) dan menentang isu pembangunan komersil dilakukan BN, kononnya pembangunan itu akan menghapuskan kuasa ekonomi dan warisan Melayu.
"Di sinilah veteran UMNO perlu memainkan peranan mereka supaya generasi muda dapat memahami sejarah asal usul perjuangan UMNO yang terus mendaulatkan kepentingan agama dan bangsa untuk kesejahteraan Malaysia," katanya.
No comments:
Post a Comment