Kerajaan menyasarkan 90 lagi Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) akan beroperasi tahun ini selepas ia mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Ketua Unit Pengurusan dan Pelaksanaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Mohd Fariszan Ahmad berkata penambahan itu melibatkan 25 buah di Sabah, Sarawak (30), Labuan (dua) manakala 33 premis lain di semenanjung.
"Sehingga kini kita ada 87 KR1M seluruh negara dan pada awal pelaksanaanya, hanya terdapat 250 produk, tetapi dengan sambutan yang amat baik, maka produk KR1M bertambah menjadi 405 ketika ini," katanya kepada Bernama Radio24, semalam.
Beliau berkata kerajaan bercadang untuk memberi tumpuan di kawasan bandar bagi pembinaan KR1M kerana fokus utamanya adalah untuk mengurangkan bebanan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan bandar.
"Berikutan permintaan yang tinggi oleh rakyat selepas kita melancarkan KR1M yang pertama di Stesen LRT Kelana Jaya pada 11 Jun 2011, ia perlu diperluaskan sebagai satu gerakan nasional," katanya.
Fariszan berkata kerajaan juga menyasarkan 1,000 premis makanan menyertai projek Menu Rakyat 1Malaysia MR1M tahun ini bagi menambah bilangan sedia ada iaitu 3,572 premis yang menawarkan harga makanan yang lebih murah kepada orang ramai.
"Selain daripada KR1M dan MR1M, kerajaan juga akan menambah bilangan Kedai Kain Rakyat 1Malaysia KKR1M sebanyak 30 lagi menjadikannya 34 buah menjelang akhir tahun ini," katanya.
Sehubungan itu beliau berkata KPDNKK di setiap negeri dan daerah akan memantau semua inisiatif itu bagi memastikannya berjalan seperti dirancang.
No comments:
Post a Comment