Thursday, March 7, 2013
Kerajaan Terengganu Sumbang RM50,000 Kepada Setiap Balu Polis Terkorban
Kerajaan Negeri Terengganu semalam bersetuju menghulurkan sumbangan sebanyak RM50,000 masing-masing kepada keluarga dua anggota polis dari negeri ini yang terkorban dalam serangan pengganas di Lahad Datu dan Semporna pada Jumaat dan Sabtu lepas.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika mengumumkan perkara itu selepas mesyuarat exco negeri di sini berkata, pihaknya akan menyerahkan sumbangan itu kepada balu Allahyarham Insp Zulkifli Mamat, 29, dari Kampung Kubang Ikan, Besut dan balu Supt Ibrahim Lebar, 52, dari Kampung Jabi Setiu.
"Kerajaan negeri berikan sumbangan RM50,000 sebagai tanda simpati kepada anggota yang terkorban di Lahad Datu dan ia akan kita sampaikan pada satu majlis khas nanti," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu selepas mesyuarat Exco semalam.
Kedua-dua anggota polis itu merupakan antara lapan anggota keselamatan yang terkorban dan empat yang lain cedera dalam insiden pencerobohan pengganas asing di pantai timur Sabah.
Zulkifli yang meninggalkan seorang balu dan dua anak merupakan anggota Komando VAT 69 berpangkalan di Hulu Kinta manakala Ibrahim yang meninggalkan seorang balu dan tiga anak merupakan anggota Cawangan Khas Bukit Aman.
Sementara itu, di KANGAR, Yayasan Pok dan Kassim (YPK) hari ini menyumbang RM8,000 untuk balu lapan anggota polis yang terkorban itu. Sumbangan disampaikan Pengerusi YPK Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kepada Ketua Polis Daerah Kangar Supt Abdul Rahman Mohd Noordin yang mewakili Ketua Polis Perlis SAC Zull Aznam Haron di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis.
Shahidan yang juga anggota Dewan Undangan negeri kawasan Tambun Tulang berkata YPK juga akan mengumpulkan sumbangan selama seminggu untuk diserahkan kepada balu Allahyarham Insp Zulkifli Mamat, Nor Aziah Noor, 28, yang berasal dari negeri ini.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya akan menyerahkan sumbangan YPK kepada balu pegawai dan anggota polis yang terkorban itu dalam tempoh terdekat.
No comments:
Post a Comment