Friday, March 29, 2013

Kerusi PKR Terengganu Bukan ‘Kerusi Bunuh Diri’


PKR Terengganu menolak pandangan sesetengah pihak bahawa kerusi yang ditandingi parti itu sebagai kerusi ‘bunuh diri’ sebaliknya optimis bahawa kerusi-kerusi PKR di Terengganu bakal ‘hidup semula’

Enggan menoleh ke belakang dengan kekalahan PKR di kesemua tujuh kerusi termasuk dua kerusi Parlimen pada pilihan raya umum lalu, Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail menggambarkan bahawa tidak mustahil kerusi-kerusi yang ditandingi PKR pada pilihan raya akan memihak kepada calon parti itu sebagaimana pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999.

Jelasnya, berdasarkan perkembangan yang sedang berlaku termasuk isu yang dimainkan, beliau percaya keputusan kelak tidak akan mengecewakan parti, lebih-lebih lagi kesedaran politik yang ditunjukkan rakyat sejak kebelakangan ini.

“Di Terengganu masa 1999, memang tiada tanda-tanda langsung (pembangkang menang) dan secara tiba-tiba berlaku (peralihan kuasa politik) di negeri Terengganu disebabkan oleh perubahan minda rakyat Terengganu, dicampur dengan generasi muda yang celik teknologi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat PKR sempena Pelancaran Van PRU13, di Jalan Pejabat, di KualaTerengganu, semalam.

Mengulas lanjut, Azan yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, keputusan tidak dijangka yang berpihak kepada pembangkang terutama di kerusi ditandingi PKR boleh berlaku berikutan perkembangan positif dan kesedaran rakyat itu.

“Isu berkenaan dengan kesedaran rakyat negeri Terengganu seperti kepentingan pembayaran royalti, saya rasa majoriti rakyat Terengganu juga mengharapkan satu imej baru akan wujud.

Saya rasa rakyat Terengganu telah memikirkan ‘caption’ untuk mewujudkan Terengganu baru,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada beliau akan bertanding di mana-mana kerusi di Terengganu pada PRU13 nanti, Azan menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti, tetapi bersedia menggalas tanggungjawab sekiranya dicalonkan semula pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya masih lagi Ahli Parlimen Indera Mahkota sehingga Parlimen dibubarkan. Sekiranya parti mencalonkan saya, saya bertanding kalau tidak mencalonkan pun, ok juga untuk tidak bertanding.

“Maksudnya, saya menerima kedua-duanya sama ada bertanding atau tidak, di mana-mana tempat di Malaysia tetapi bukan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

No comments:

Post a Comment