Thursday, March 7, 2013

Lebih 200,000 Anak Penyu Dihasilkan Daripada Projek Penetasan


Projek penetasan penyu di Terengganu tahun lepas berjaya menghasilkan sebanyak 232,798 ekor anak penyu daripada 321,764 biji telur yang dieramkan.

Jurucakap Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Rantau Abang berkata pada tahun 2011, sebanyak 281,016 ekor anak penyu dihasilkan daripada 361,164 biji telur yang dieramkan.

"Kesemua anak penyu itu telah dilepaskan ke laut untuk terus membesar," katanya. Beliau berkata mengikut rekod, Pulau Redang merupakan kawasan paling tinggi penetasan anak penyu tahun lepas iaitu 66,975 ekor.

Katanya ini kerana di pulau itu terdapat empat pusat penetasan penyu di Pantai Mak Kapit dan Pantai Mak Simpan.

Beliau berkata kedua tertinggi penetasan penyu tahun lepas ialah di kawasan Pantai Geliga, Kemaman sebanyak 61,125 ekor dan Pantai Ma'daerah, Kemaman 15,368 ekor.

"Pulau Redang mencatatkan 1,870 pendaratan, pantai Geliga mencatat 823 pendaratan manakala pantai Ma'daerah mencatat 216 pendaratan penyu dan merupakan tertinggi di Terengganu sepanjang tahun lepas," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri memperuntuk sebanyak RM626,000 untuk pembangunan dan pengurusan penyu di negeri ini tahun lepas.

Dalam pada itu, beliau berkata untuk tahun 2013, sudah ada pendaratan penyu agar di pantai Rantau Abang, Geliga dan Pulau Redang. Bagaimanapun jumlahnya belum dipastikan.

No comments:

Post a Comment