Thursday, March 7, 2013

11 Badan NGO Kemaman Protes Tian Chua


Kenyataan Naib Presiden PKR, Tian Chua terus diprotes apabila sebanyak 11 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Kemaman tampil membuat laporan polis dan mengadakan demonstrasi aman mengutuk kenyataan yang dikeluarkan pemimpin itu di Kemaman, kelmarin.

Kira-kira 130 ahli dari 11 NGO terbabit berkumpul sambil melaungkan kata-kata sokongan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengutuk dakwaan tidak berasas yang dilemparkan kepada Umno.

Laporan dibuat kira-kira jam 11 pagi di Balai Polis Chukai oleh semua NGO terbabit iaitu daripada Wanita Umno Bahagian Kemaman dan Wanita Umno dari empat Dun iaitu Air Putih, Kijal, Chukai dan Kemasik,

Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) Kemaman, Sekretariat Pembelaan dan Pemerkasaan Wanita Islam (Senada), Puspanita dan Persatuan Wanita Sedar Negeri Terengganu Daerah Kemaman (Surianita). Turut membuat laporan, Majlis Kebudayaan Daerah Kemaman (MKD), Pekida Kemaman dan Persatuan Silat Daerah Kemaman (Persik) dan Umno Bahagian Kemaman.

Ketua Wanita Umno Bahagian Kemaman, Senator Rohani Abdullah berkata, laporan polis berkenaan dibuat agar Tian Chua yang sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan fitnah kononnya Umno mendalangi kes pencerobohan di Lahad Datu, Sabah diambil tindakan tegas.

Menurutnya, pihaknya percaya ada pihak tidak bertanggungjawab yang merancangnya dengan begitu rapi.

“Kami percaya kejadian pencerobohan ini lama dirancang oleh pihak tertentu dan mereka cuba huru-harakan keadaan menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13),” katanya.

Terdahulu, Wanita Umno Bahagian Kemaman turut mengadakan solat Hajat memohon kezaliman yang berlaku di Lahad Datu segera berakhir dan keamanan dapat dipulihkan semula.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) MKD, Rosli Ahmad, sedih dengan tindakan Tian Chua yang boleh diibaratkan sebagai petualang, kerana mengambil kesempatan melemparkan tuduhan liar di sebalik peristiwa yang berlaku.

“Kami sanjung tinggi setiap anggota keselamatan yang bertugas mempertahankan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pemeriksa Kira-kira Umno Bahagian Kemaman, Ibrahim Abas memohon pihak berkuasa segera menyiasat segera Tian Chua bagi menegakkan kebenaran

SH Online

No comments:

Post a Comment