Saturday, March 2, 2013

LTdL 2013 - Pelumba Team Europcar Bryan Coquard Intai Hatrik

 

Bryan Coquard berjaya mencipta kemenangan kedua untuk pasukan Europcar di luar benua Eropah apabila menungguli peringkat kesembilan jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2013 yang berakhir di Kuala Berang, tengah hari semalam.

Pelumba Perancis berusia 21 tahun itu terpaksa bersaing hebat dengan kelompok utama ketika melakukan pecutan ke garisan penamat pada perlumbaan sejauh 123.60km dari Pasir Puteh, Kelantan ke Kuala Berang, Terengganu.

Coquard, pemenang pingat perak acara omnium (trek) Sukan Olimpik London 2012, menamatkan persaingan dalam masa dua jam 42 minit dan 11 saat, sekali gus mengetepikan cabaran pelumba Itali, Francesco Chicchi (Vini Fatini-Selle Italia) dan pelumba Australia, Allan Davis dari pasukan Orica GreenEdge.

Kemenangan Coquard tersebut adalah kali kedua berturut-turut selepas memenangani peringkat kelapan semalam.

Bagaimanapun, kira-kira satu kilometer ke garisan penamat, beberapa pelumba terbabit dalam kemalangan kecil. "Saya sangat gembira... rakan sepasukan berusaha keras untuk membantu mencapai kemenangan ini. Perlumbaan ini lebih sukar untuk dimenangi berbanding semalam.

"Saya berjaya mengelak kemalangan itu dan hanya mengekori pendahulu pasukan Kevin Reza. Saya akan cuba menang sekali lagi esok. Biar apa berlaku esok, saya tidak menghadapi tekanan," katanya.

Pelumba Colombia, Julian David Arredondo Moreno dari pasukan Nippo-De Rosa masih lagi mempertahankan jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan.

"Saya gembira untuk mendahului saingan dan harap untuk muncul dalam kelompok utama esok... saya mahu menjuarai jelajah ini," katanya.

Selain Arredondo, pelumba China, Wang Meiyin masih menyandang dua jersi iaitu jersi Merah selaku Raja Bukit dan jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia.

Pelumba berpengalaman, Andrea Guardini dari pasukan Astana Pro Team, masih mendominasi acara pecut (jersi Biru) dengan mengumpul 86 mata dan pasukan Afrika Selatan, MTN Ohubeka, dijangka mempertahankan status sebagai pasukan terbaik keseluruhan.

Perlumbaan terakhir peringkat ke-10 esok dari Tasik Kenyir ke Kuala Terengganu, sejauh 114.80km, merupakan laluan paling pendek pada edisi ke-18 jelajah itu dengan menyediakan tiga zon pecutan iaitu satu di Padang Air dan dua di Dataran Shahbandar. 

No comments:

Post a Comment