Saturday, March 2, 2013

Jenazah Anggota Polis Komando Terkorban, Seorang Dari Besut, Tiba di Subang Hari Ini

Isteri kepada Allahyarham Inspektor Zulkifli Mamat yang terkorban di Lahad Datu, Sabah, Nor Aziah Nor, 28, dipimpin saudara selepas mengetahui berita kematian suaminya, semalam. Gambar kecil anak Allahyarham.
Jenazah dua anggota polis komando VAT 69, seorang dari Besut,  yang terkorban dalam insiden tembakan membabitkan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina di Lahad Datu, Sabah dijadual diterbangkan ke ibu negara Sabtu.

Penerbangan itu pada asalnya dijadual tiba lewat malam semalam.

Penolong Ketua Urusetia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) ACP Ramli Mohamed Yusoff memberitahu Bernama jenazah dijadual tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang kira-kira 9 pagi.

Kenderaan anggota polis di pos kawalan utama membawa dua anggota polis yang terkorban di Kampung Tanduo.

Anggota yang terkorban dari Kem Ulu Kinta itu ialah Insp Zulkifli Mamat, 29, dan Kpl Sabarudin Daud, 46. Allahyarham Zulkifli, yang berasal dari Kampung Kubang Ikan, Besut, Terengganu, meninggalkan seorang balu, Noraziah Noor dan dua anak lelaki berusia empat dan satu tahun.

 Allahyarham Sabarudin yang berasal dari Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor pula meninggalkan balu, Nurunisa Abu Bakar dan tiga anak - dua lelaki dan seorang perempuan.

Dalam insiden tembak menembak itu, dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut  di Kampung Tanduo semalam.

Kejadian kira-kira jam 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis.

Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.

Mereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.

Bercakap pada sidang akhbar di Lahad Datu, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.

"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.

Hamza berkata, turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.

Beliau berkata, polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.

"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.

No comments:

Post a Comment