Friday, March 29, 2013
LTKN Peruntuk RM6 Juta Majukan Koperasi Seliaannya
Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) memperuntukkan RM6 juta bagi membiayai program pembangunan 15 koperasi kendalianya di seluruh negara tahun ini.
Ketua Pengarahnya Datuk Ahmad Loman berkata peruntukan itu sebagai modal membolehkan koperasi itu menjalankan pelbagai kegiatan pembangunannya.
Langkah ituselaras dengan usaha kerajaan menjadikan koperasi sebagai pemacu dalam menyumbang pembangunan ekonomi negara, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Anggota Koperasi Seliaan LKTN di Kota Bharu, semalam.
Ahmad berkata tanggungjawab LKTN dalam memajukan golongan petani, terutama bekas penanam tembakau dalam industri itu amat besar demi membantu 1,203 anggotanya yang berdaftar dengan koperasi itu setakat ini.
"Disamping mengenal pasti aktiviti sesebuah koperasi itu, kita juga membuat pemantauan dan sedia menambah peruntukan dari semasa ke semasa mengikut keperluan aktiviti yang dijalankan," katanya.
Beliau berbangga kerana ada antara koperasi telah menunjukkan kejayaan cemerlang dengan terlibat dalam bidang perladangan dan ternakan serta pembuatan jus dan jem buah nanas, seperti dilaksanakan sebuah koperasi di Pasir Mas.
"Dalam menjayakan koperasi LKTN ini, kita juga bekerjasama dengan beberapa agensi kerajaan berkaitan, termasuk Suruhanjaya Kopersi Malaysia (SKM) dan Kementerian Kesihatan serta Lembaga Kemajuan Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama)," katanya.
Ahmad berkata ini merupakan pertama kali persidangan koperasi di bawah seliaan LKTN diadakan di peringkat kebangsaan, terutama di negeri yang mempunyai kawasan tanaman komuditi tembakau dan kenaf yang luas, seperti Kelantan dan Terengganu.
No comments:
Post a Comment