Tuesday, March 12, 2013

Maidam Lupus 700kg Abu Al-Quran Di Perairan Terengganu

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) melupuskan kira-kira 700 kilogram abu kitab suci al-Quran dan bahan bercetak yang mengandungi teks ayat-ayat suci itu di Laut China Selatan semalam.

Pelupusan itu dibuat dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Timur pada pukul 11 pagi tadi di perairan Kuala Terengganu kira-kira 10 batu nautika dari jeti Shahbandar di Kuala Terengganu.

Timbalan Pesuruhjaya Jabatan Pembangunan Keluarga dan Penyelidikan Maidam Samsiah Datuk Awang berkata pelupusan itu adalah kali kedua dilakukan dan merupakan pendekatan terbaik untuk menjaga kesucian al-Quran yang dilupuskan.

"Kita biasa mendengar orang melupuskan al-Quran dengan cara menanamnya ke tanah selepas dibakar tetapi ramai yang tidak tahu bahawa melupuskan naskhah (al-Quran) itu dengan membuangnya ke tengah laut adalah lebih baik," katanya selepas mengetuai rombongan pelupusan yang turut disertai media.

Katanya pelupusan itu dikendalikan bahagian penyelidikan Maidam iaitu agensi kerajaan negeri yang pertama di negara ini yang membina relau khas untuk pelupusan al-Quran.

Proses bermula dengan pengumpulan al-Quran yang telah rosak dan salah cetak sehinggalah kepada proses membakar serta membuangnya ke laut.

"Dulu peringkat permulaan, al-Quran yang dikumpul dihantar ke pusat pelupusan yang diselia oleh pihak Kementerian Dalam Negeri yang diserahkan kepada satu syarikat di Kuala Lumpur untuk proses pembakaran.

"Bermula 2011 Maidam mengambil inisiatif melupuskan sendiri al-Quran lama dengan menghasilkan relau yang dicipta oleh kakitangan bahagian penyelidikan Maidam," katanya.

Samsiah berkata adalah penting bagi umat Islam menggunakan perkhidmatan pusat pelupusan al-Quran bagi melupuskan kitab suci itu demi memastikan proses dilaksana mengikut syariat Islam.

Selain dilupuskan melalui pembakaran sebelum abunya dibuang ke laut, kaedah Islam lain iaitu cara membakar dan menanamnya boleh digunakan seperti diamalkan zaman Saidina Uthman Affan, katanya.

No comments:

Post a Comment