Tuesday, March 12, 2013

PMINT Sasar 50 Peratus Pendapatan Menerusi Sewaan Aset



Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) digesa supaya membangunkan lebih banyak projek hartanah di seluruh negeri supaya mampu mencapai 50 peratus pendapatan menerusi sewaan aset menjelang 2017.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata sehingga kini PMINT menjana 40 peratus pendapatan menerusi sewaan premis bangunan kediaman, perkedaian, ruang niaga, pejabat, bengkel dan kilang industri.

“Sudah sampai masanya PMINT mempelbagaikan sumber ekonomi bagi meningkatkan pendapatan termasuk mencapai sehingga 50 peratus daripada sewaan aset (hartanah) dalam tempoh empat hingga lima tahun lagi.

“Malah, PMINT juga perlu meneroka lebih banyak bidang ekonomi baru supaya dapat merancakkan lagi sosioekonomi setempat dan mengubah lanskap pembangunan negeri,” katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Menteri Besar berkata sebagai agensi terawal yang ditubuhkan di Terengganu, PMINT berperanan meningkatkan penglibatan dalam bidang ekonomi dengan melabur dalam sektor berpotensi serta meneroka pelbagai bidang ekonomi baru dan sedia ada bagi mengubah lanskap pembangunan negeri secara keseluruhannya.

Katanya, sememangnya menjadi tanggungjawab kepada PMINT untuk menyediakan kemudahan yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kalangan rakyat negeri ini dan sehingga kini, PMINT sudah membangunkan banyak projek perumahan dan perkedaian di seluruh Terengganu.

Selain menjana pendapatan menerusi jualan hartanah seperti premis perkedaian, ruang pejabat dan perumahan, PMINT juga diberi tanggungawab oleh kerajaan negeri sebagai penyelia projek Perumahan Awam Kos Rendah di seluruh Terengganu sejak 2009.

Teganukita

No comments:

Post a Comment