Tuesday, March 19, 2013

MARA Sasar Kutip Hutang RM600 Juta

Majlis Amanah Rakyat (Mara) menyasarkan kutipan pembayaran balik antara RM550 juta hingga RM600 juta tahun ini berikutan peningkatan jumlah kutipan yang semakin memberangsangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, sepanjang tahun lepas, Mara mengutip RM692 juta berbanding sasaran RM500 juta.

“Ini adalah peningkatan 40 peratus daripada sasaran dan kejayaan ini membuktikan usahawan Mara telah melakukan pelbagai perubahan seiring dengan matlamatnya untuk terus membantu usahawan di segenap lapisan masyarakat.

“Terlalu banyak perubahan positif dalam kalangan usahawan Melayu dan jumlah kutipan ini membuktikan mereka sedia berubah daripada segi sikap demi masa depan yang lebih cemerlang,” katanya selepas merasmikan Seminar Transformasi Imej Usahawan Penyewa di Kuala Terengganu, semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Mara, Datuk Ibrahim Ahmad dan usahawan yang menyewa di premis perniagaan milik Mara di seluruh Terengganu.

Mengenai transformasi Mara terhadap premis perniagaannya yang sudah berusia 30 tahun, Idris berkata, RM167 juta akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembangunan semula dan menaik taraf bangunan bagi memberi imej yang lebih segar kepada premis berkenaan.

No comments:

Post a Comment