Sunday, March 17, 2013

Muhyiddin Bidas Pembangkang Kaitkan Kematian PI Bala Dengan Umno

Muhyiddin Yassin menyampaikan anak pokok getah kepada pekebun kecil dari Kampung Orang Asli Segamat kecil, Ishak Bek (kiri) pada Majlis Perasmian Hello Komoditi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam menolak laporan media sosial mengaitkan Umno dengan kematian penyiasat persendirian P. Balasubramaniam.

Beliau kemudian menempelak pembangkang kerana mempolitikkan semua hal yang berlaku dalam negara. "Apa yang berlaku di Malaysia semua konspirasi Umno, lepas ini semua yang tidak elok berlaku di Malaysia konspirasi Umno," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu tersebut.

Muhyiddin menasihatkan rakyat agar tidak terpedaya dengan maklumat seperti itu kerana ia kenyataan politik sahaja untuk tujuan mengelirukan rakyat.

 Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Program Hello Komoditi Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) di Kompleks Sukan Pagoh, semalam.

"Mereka bekerja 25 jam sehari, tiada kerja lain hanya kitar (fitnah) sahaja, berlaku sahaja sesuatu salah BN, apa sahaja berlaku salah Umno... sebenarnya ia tidak bertanggungjawab," katanya

 Majlis itu turut dihadiri oleh Timbalan Menteri KPPK, Datuk Hamzah Zainudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang, Datuk Tahir Taat serta ADUN Jorak, Datuk Dr Shahrudin Md Salleh.

Balasubramaniam, 53, atau lebih dikenal sebagai PI Bala, meninggal dunia semalam di Rawang, Selangor, semalam, akibat sakit jantung setelah mengalami sesak nafas.

Bala menjadi perhatian media pada 2008 apabila membuat dua akuan bersumpah yang bercanggah dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada 2006.

No comments:

Post a Comment