Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali hari ini menempelak cubaan pihak-pihak tertentu mengaitkan Pas dengan pengakuan bekas ahli seumur hidup parti itu, Zainon Ismail yang mengaku pernah merancang untuk membunuh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menyifatkan cubaan Zainon dan beberapa media membangkitkan semula isu 30 tahun lalu itu kerana sudah menjadi "alat Umno", beliau bagaimanapun meminta polis segera menyiasat kerana isu bunuh bukan perkara main-main.
"Ini 'rubbish'. Patut polis siasat dia (Zainon). Dia mengaku dia hendak bunuh (Dr) Mahathir. Pengakuan hendak bunuh orang ini berat," ujar Mustafa kepada Sinar Harian Online semalam.
Bernama semalam memetik Pengerusinya, Datuk Abdul Rahman Sulaiman sebagai berkata, agensi itu pernah melaporkan tentang kumpulan ekstremis Pas yang diwujudkan untuk membunuh Dr Mahathir pada 1988.
Menurut Rahman, laporan khas bertarikh 11 September 1984 nukilan wartawan Bernama itu diperoleh daripada sumber risikan agensi berita itu sendiri.
"Bernama dapat mengesan ancaman terhadap Dr Mahathir itu lebih awal daripada pembunuhan yang dirancang ingin dilakukan pada 1988," katanya.
Laporan khas pada 11 September itu juga mendakwa seorang daripada pemimpin Pas Kedah dikatakan pernah memberikan senarai lima tokoh Umno yang harus dibunuh demi menegakkan hukum Islam di negara ini.
Zainon yang merupakan penulis buku 'Kafirkah Aku?' pada Isnin lalu, dilaporkan berhasrat menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf kerana merancang membunuh bekas perdana menteri itu.
"Sudah jadi alat Umno boleh kata apa sahajalah. Bila Umno suruh kata apa pun, mereka (Abdul Rahman dan Zainon) ini akan kata," bidas Mustafa lagi.
Dr Mahathir, bekas Presiden Umno, menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
No comments:
Post a Comment