Thursday, March 28, 2013

Terengganu Akan Peluas Penyerahan E-Book Di Semua Hospital Daerah

Kerajaan Negeri Terengganu akan memperluas pemberian E-Book kepada Jabatan Pediatrik setiap hospital di negeri ini bagi memastikan pesakit kanak-kanak tidak ketinggalan dalam pelajaran semasa di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata buat permulaan Jabatan Pediatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu terpilih sebagai hospital perintis menguji keberkesanan penggunaan E-Book itu.

Katanya E-Book dalam komputer mini itu dilengkapi perisian sukatan matapelajaran Kementerian Pelajaran dan diberi percuma kepada semua murid Tahun 4 di Terengganu sejak 2009.

"Pada tahun ini, kami menyerahkan 10 unit E-Book kepada HSNZ dan lima unit lagi kepada Hospital Kemaman dan jika terbukti berjaya dengan perkembangan positif pesakit, kami akan perluaskannya ke hospital daerah lain," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan E-Book itu di Sekolah Kita HSNZ di Kuala Terengganu, kelmarin.

Sekolah Kita yang diwujudkan hasil inisiatif HSNZ sejak tahun 2004 itu bertujuan menyediakan kemudahan pembelajaran akademik kepada pesakit cilik yang sedang menerima rawatan di hospital itu.

Dengan bantuan empat orang petugas, pesakit boleh menggunakan segala kemudahan akademik yang disediakan untuk mengulang kaji pelajaran di situ. Mereka turut dibantu pelajar dari Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) mengikut jadual.

 Sementara itu, Ketua Jabatan Pediatrik HSNZ Datuk Dr Jimmy Lee Kok Foo berkata kira-kira 90 peratus daripada 2,000 pesakit kanak-kanak yang mendapatkan rawatan di jabatan itu ialah pesakit Talasemia.

"Bagi seorang kanak-kanak yang menghidap penyakit Talasemia, tempoh setiap rawatan antara enam hingga lapan jam di hospital merupakan rutin yang membosankan, namun dengan adanya kemudahan E-Book di sini, mereka mengisi masa itu dengan perkara yang bermanfaat," katanya.

Selain itu, Ahmad Razif juga berkata HSNZ bakal mempunyai sebuah perpustakaan bagi menyuburkan budaya membaca dalam kalangan pesakit, petugas dan orang ramai yang berkunjung ke HSNZ.

"Saya akan berbincang dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Dr A Rahman Mokhtar dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT) Nor Akmal Abdul Fatah mengenai pelaksanaannya.

"Ada pesakit yang terpaksa menghabiskan banyak masa di hospital untuk menjalani rawatan tertentu dan kewujudan perpustakaan itu nanti pasti boleh mengisi masa mereka di sini," katanya.

Mengulas mengenai sekolah dalam hospital di Terengganu, Ahmad Razif berkata beliau akan mengemukakan cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran untuk mewujudkannya di HSNZ.

Sehingga kini terdapat tujuh buah sekolah dalam hospital di seluruh negara yang menyediakan kemudahan pengajaran dan pembelajaran kepada pesakit kanak-kanak yang menjalani rawatan di institusi perubatan negara ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment