Thursday, March 7, 2013

Najib Minta Rakyat Doakan Kesejahteraan Pasukan Keselamatan


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Malaysia terus mendoakan kesejahteraan anggota pasukan keselamatan negara yang sedang berjuang menamatkan pencerobohan kumpulan bersenjata di Sabah.

"Pada saat dan ketika saya berucap ini, perwira-perwira negara sedang menyabung nyawa dalam satu operasi yang berlangsung ketika ini.


"Marilah kita berdoa semoga mereka terselamat dan musuh-musuh negara dapat kita tumpas dan hapuskan sama sekali," katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 warga Tenaga Nasional Berhad (TNB) sempena lawatan kerja beliau ke syarikat utiliti itu di sini hari ini.

Ucapan Najib turut diikuti lebih 20,000 warga TNB di seluruh negara menerusi sidang video.

Kelmarin, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F-18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas warga asing sejak 12 Februari lepas.

Pada majlis semalam, Najib turut menyaksikan pertukaran perjanjian persefahaman antara TNB dan Perumahan Rakyat 1Malaysia Berhad bagi pembinaan rumah mampu milik untuk warga TNB di kawasan seluas 3.2 hektar di Kajang.

No comments:

Post a Comment