Thursday, March 7, 2013

Polis Terengganu Solat Hajat Doakan Anggota Keselamatan i Lahad Datu


Kira-kira 300 pegawai dan anggota polis Terengganu mengadakan solat hajat hari ini, mendoakan keselamatan dan kesejahteraan anggota pasukan keselamatan yang terbabit Op Daulat di Sabah.

Ketua Polis Terengganu Datuk Jamshah Mustapa berkata solat hajat juga akan dianjur semua surau ibu pejabat polis daerah di negeri itu.

"Kita harap tidak berlaku lagi pertumpahan darah terutama dalam kalangan anggota keselamatan," katanya kepada pemberita selepas majlis itu, di Kuala Terengganu.

Katanya Polis Kontinjen Terengganu menghantar seorang pegawai dan empat anggota ke Lahad Datu kelmarin, sebagai bantuan kepada pasukan di sana.

Sementara itu, Pengerusi Penyelaras Umno dan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri Ladang Datuk Wan Hisham Wan Salleh yang turut hadir, berkata isu keselamatan negara tidak patut dipolitikkan.

Katanya rakyat seharusnya bersatu dan memberi sokongan penuh kepada usaha pasukan keselamatan dan bukan menuding jari kepada mana-mana pihak.

"Dalam kes yang sedang berlaku di Lahad Datu, Sabah ketika ini, rakyat sepatutnya memberi sokongan penuh dan tidak wajar menjadi pengkritik semata-mata kerana pihak berkuasa mempunyai kepakaran sendiri.

Bagaimanapun katanya, perbuatan itu hanya dilakukan segelintir rakyat, manakala yang lain menyatakan sokongan dengan cara sendiri.

No comments:

Post a Comment