Peserta operasi turut melihat tempat yang disyaki menjadi lokasi penagihan dadah. |
Dalam operasi yang bermula kira-kira jam 10 pagi dan berakhir sejam kemudian itu, lebih 30 orang termasuk penyokong parti pembangkang turut serta, dengan melancarkan gerakan ke beberapa lokasi yang dipercayai menjadi tumpuan jenayah, selain mengunjungi kediaman penduduk yang pernah menjadi mangsa.
Peserta mendengar taklimat sebelum memulakan operasi. Md Azmi (kiri) berkata sesuatu kepada peserta keselamatan. |
Peserta yang menyertai operasi turut mengunjungi rumah penduduk sekitar. |
Antara lokasi yang digempur adalah kawasan semak, rumah kosong, pantai, surau dan tempat edaran pil kuda yang mendapat aduan penduduk wujudnya gejala tidak sihat di beberapa lokasi berkenaan.
Pengerusi Komuniti Kepolisan Balai Polis Gong Badak, Md Azmi Abd Aziz berkata, operasi yang dibuat secara kerjasama itu, lebih menjurus kepada usaha untuk memberi lebih kesedaran kepada masyarakat dan pada masa sama, menunjukkan tanda prihatin terhadap penduduk yang pernah menjadi mangsa penjenayah, di samping turut mengetepikan soal ideologi politik berbeza.
“Seperti mana operasi yang dilaksanakan sebelum ini, ia bertujuan memberi isyarat kepada penjenayah bahawa tindakan dan perlakuan mereka sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
“Selain meronda ke beberapa kawasan yang menjadi ‘kediaman’ penjenayah ini, kita turut melakukan ziarah ke rumah mangsa (penjenayah) dalam usaha untuk memulihkan trauma yang dihadapi mereka dan pada masa sama, membuktikan bahawa keselamatan penduduk sentiasa diberi keutamaan,” katanya, kelmarin.
Puji peranan wanita Md Azmi berkata, pihaknya serius untuk membendung gejala jenayah di kawasan berkenaan dan turut meminta masyarakat untuk memainkan peranan, dengan menyalurkan segera maklumat sekiranya wujud keadaan mencurigakan di tempat tinggal mereka.
“Alhamdulillah, dengan pelbagai pelaksanaan dan operasi yang kita laksanakan sebelum ini, menunjukkan kesan yang sangat positif dan kita harap kerjasama yang diberikan ini akan berterusan,” katanya.
Sementara itu, Md Azmi turut memuji usaha dan kesungguhan golongan wanita melalui Jiran Wanita, yang begitu komited dan bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam operasi yang diadakan itu.
“Kita melihat kesan yang sangat positif, di mana wanita hari ini begitu bersungguh-sungguh untuk terlibat dalam aktiviti komuniti dan sejajar dengan pelaksanaan Jiran Wanita sebagai mata dan telinga, yang dilaksanakan sebelum ini dilihat berjaya capai sasaran.
“Justeru, kita berharap dengan komitmen tinggi yang ditunjukkan golongan wanita ini akan diikuti yang lain-lain kerana untuk membanteras jenayah ia memerlukan usaha bersama serta dilakukan secara berterusan,” katanya.
Katanya, meskipun operasi yang diadakan lebih menjurus kepada usaha untuk memberi peringatan kepada penjenayah dengan memperlihatkan kehadiran anggota keselamatan kampung, namun itu tidak bermakna penjenayah akan terlepas daripada tindakan jika didapati bersalah.
“Operasi yang kita adakan lebih kepada usaha untuk memberi peringatan kepada penjenayah, bahawa tindakan mereka sentiasa diperhatikan dan tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan undang-undang jika didapati bersalah,” katanya.
SH Online
No comments:
Post a Comment