Sunday, March 10, 2013

Pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu Bantu Warga Miskin

Pelajar Kolej Komuniti Kuala Terengganu hari ini turun padang untuk membantu masyarakat setempat.

Menerusi program 'Karnival Bersama Rakyat', seramai 90 pelajar dan 22 kakitangan kolej membantu memasang pendawaian elektrik ke atas 20 buah rumah penduduk di Kampung Sungai Kiat dan Kampung Paloh di dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam.

Pengarah kolej, Maziah Muda berkata para pelajar juga turut memasang paip air di 10 buah rumah selain mengadakan tujuh kursus pendek kepada penduduk seperti refleksologi, membuat hiasan kek cawan, cara menggunting rambut, berbekam dan menukar minyak hitam motosikal.

Kira-kira RM60,000 diperuntukkan untuk melaksanakan keseluruhan projek tersebut, katanya.

Antara institusi yang turut terlibat ialah Sekolah Kebangsaan Paloh selaku tuan rumah, Pejabat Kesihatan Daerah dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Kiat dan Paloh.

No comments:

Post a Comment