Sunday, March 10, 2013

JPJ Buka Pejabat Cawangan Di Baling, Cameron Highlands

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka pejabat cawangannya di Cameron Highlands, Pahang dan Baling, Kedah untuk kemudahan orang ramai membuat urusan berkaitan lesen memandu dan memperbaharui cukai jalan.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Solah Mat Hassan, berkata bangunan cawangan baharu itu sudah dikenal pasti dan kerja membaik pulih akan dilakukan dalam masa terdekat.

Kedua-dua pejabat cawangan itu akan mula beroperasi tidak lama lagi dan waran perjawatan untuk kedua-dua cawangan tersebut telah diluluskan, katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang JPJ Seluruh Malaysia di Kuala Terengganu, semalam.

Selain itu, Solah berkata empat buah lagi stesen penguatkuasa (SPK) di seluruh negara akan dinaik taraf kepada pejabat cawangan tidak lama lagi selaras dengan usaha menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Katanya SPK Bukit Besi akan dinaik taraf kepada pejabat Cawangan Dungun, SPK Jerantut (Cawangan Jerantut), SPK Maran (Cawangan Maran) dan SPK Kuala Selangor (Cawangan Kuala Selangor).

No comments:

Post a Comment