Wednesday, March 13, 2013

Pertubuhan Peladang Maras/Batu Rakit Untung RM414,967 Tahun Lepas

Pertubuhan Peladang Kawasan Batu Maras/Batu Rakit Kuala Terengganu mencatatkan keuntungan bersih RM414,967 daripada perolehan hampir RM1.46 juta sepanjang tahun lepas.

Pengerusi Jemaah Pengarahnya, Abdul Rahman Salleh berkata PPK batu Maras/Batu Rakit mencatatkan prestasi terbaik pada tahun lepas.

Beliau berkata keuntungan terbesar tahun lepas diperoleh daripada projek kelapa sawit dan kerja kontrak.

Menurutnya, projek kelapa sawit dan kerja kontrak masing-masing menyumbangkan perolehan keseluruhan RM1,078,032 dan RM338,459. PPK Maras/Batu Rakit juga memperoleh pendapatan hasil pembelian kira-kira 30 tan metrik tembikai daripada ahli untuk dipasarkan ke beberapa bandar utama di Malaysia dan Singapura, pengedaran baja padi dan kedai peladang.

Sehubungan itu, Abdul Rahman berkata PPK itu menetapkan pembayaran dividen 15 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember, 2012, kepada 3,045 orang ahlinya.

Selain itu, Abdul Rahman berkata PPK Maras/Batu Rakit akan melibatkan diri dalam sektor hartanah pada tahun ini.

Bagi tujuan tersebut, beliau berkata ia akan melaksanakan projek perumahan di kampung Paya Ghucir, Seberang Takir Kuala Terengganu yang akan dikenali sebagai Taman PG Perdana. "Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) telah pun meluluskan projek itu," katanya.

No comments:

Post a Comment