Wednesday, March 13, 2013

Pelajar Buta Di Terengganu Bakal Miliki Pusat Pembelajaran Audio Khas

Bagi memudahkan pelajar pendidikan khas (bermasalah penglihatan) di Terengganu mengikuti sesi pembelajaran mereka dengan lebih berkesan, Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) akan mewujudkan Pusat E-Belajar Kendiri Audio khas untuk golongan itu.

Ketua Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas JPNT Ngah Bidin berkata pusat berkenaan bertujuan memudahkan mereka mengulang kaji pelajaran selain mewujudkan suasana lebih kreatif dan ceria kepada mereka.

"Sehingga kini, golongan pelajar cacat penglihatan agak susah mengulang kaji pelajaran selepas waktu persekolahan kerana tidak banyak buku rujukan yang dijual menggunakan tulisan braille.

"Jadi dengan adanya pusat ini nanti, mereka boleh mengulang kaji menggunakan komputer yang telah dilengkapi perisian khas dan boleh dicetak terus dengan tulisan braille bagi memudahkan kefahaman mereka terhadap satu-satu tajuk yang mereka dengari," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan lima komputer sumbangan Takaful Malaysia kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, dekat Chendering di Kuala Terengganu.

Buat permulaan, projek perintis pusat audio itu akan diwujudkan di Sekolah Pendidikan Khas Bukit Besar, Kuala Terengganu yang mempunyai 17 pelajar cacat penglihatan sebelum diperluas ke sekolah rendah.

Daripada jumlah itu tiga pelajar akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah, Sijil Pelajaran Malaysia (lima) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (seorang). Pusat audio itu dijangka mula beroperasi dalam masa terdekat ini.

Selain itu, Ngah berkata JPNT sangat mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada syarikat korporat atau swasta yang mahu membantu meningkatkan pencapaian akademik dalam kalangan pelajar ini.

"Sehingga kini, kita sudah menerima enam komputer riba sumbangan Top It, anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, selain beberapa peralatan yang berharga RM30,000 sumbangan kerajaan Terengganu," katanya.

No comments:

Post a Comment