Seramai 212 petani di Terengganu yang menyertai program ladang kontrak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) telah mencatatkan hasil jualan RM27.1 juta tahun lepas.
Pengarah Fama Negeri Hasan Jusoh berkata ia melibatkan kawasan tanaman seluas 247 hektar dengan pengeluaran hasil 19.1 tan metrik tahun lepas.
"Ladang kontrak ini melibatkan tiga komoditi utama, iaitu tanaman buah-buahan seperti tembikai susu, sayur-sayuran dan nenas," katanya semalam.
Hasan berkata bagi 2013, 369 peserta akan terlibat dalam program ladang kontrak dengan tanaman yang sama dan keluasan tanaman 473 hektar dengan mengeluarkan sejumlah hasil 28,400 tan metrik bernilai lebih RM42.6 juta.
Ladang kontrak di bawah penyelarasan Fama itu melibatkan kelompok di bawah Jabatan Pertanian, Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan, LPP dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).
Katanya tujuan Fama menyelaras ladang kontrak itu adalah bagi memastikan harga stabil serta memudahkan petani memasarkan hasil tanaman masing-masing.
Selain itu, Hasan berkata bilangan usahawan Pasar Tani tahun ini akan meningkat kepada 1,200 orang berbanding 1,036 orang pada 2012, berikutan pembukaan dua lagi pasar tani yang menjadikan bilangan keseluruhan pasar tani di Terengganu meningkat kepada 23 kesemuanya.
Hasan berkata Fama juga mempunyai 40 usahawan Agro Bazar dan 39 usahawan motosikal tiga roda.
No comments:
Post a Comment