Wednesday, March 13, 2013

PMINT Sumbang RM350,000 Program Usahawan Muda Di 54 Sekolah Di T'ganu

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (Pmint) memperuntukkan sebanyak RM350,000 untuk Program Usahawan Muda (PUM) di 54 sekolah di Terengganu.

Timbalan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) Pmint, A Aziz Che Talib berkata pihaknya melihat terdapat peningkatan ketara yang ditunjukkan oleh pelajar dalam program itu dan berjaya melahirkan ramai usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) ketika ini.

"Pmint mula memberi sumbangan pada 1998 dan ketika itu hanya sembilan sekolah sahaja yang mempunyai PUM.

"Namun, selaras dengan kesedaran pentadbiran sekolah yang mahukan modul ini dalam kokurikulum mereka, ia semakin meningkat dari tahun ke tahun sehinggalah pada tahun ini sudah terdapat PUM di 54 sekolah," katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat kepada semua pengetua 54 sekolah terbabit.

PUM yang dijadikan modul kokurikulum itu berjaya mendidik pelajar untuk memahami selok-belok perniagaan secara terperinci dengan pengurusan modal, kewangan, produk dan hubungan komunikasi dengan pelanggan.

Malah pelajar yang terlibat juga akan menyertai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan dan sehingga kini, sekolah dari Terengganu pasti menduduki tempat sepuluh terbaik di seluruh negara setiap tahun.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) Hashim Mohd Zin berkata pihaknya berharap untuk mengesan semula bekas pelajar terlibat PUM sebagai alumni untuk kebaikan jangka masa panjang.

"Kita mahu PUM ini dijadikan sebagai asas perniagaan daripada peringkat sekolah menengah yang berjaya mencapai hasratnya dalam menjadikan usahawan sebagai karier selepas tamat persekolahan.

"Permintaan daripada sekolah menengah yang lain juga sangat banyak untuk PUM ini namun terpaksa ditangguhkan kerana kekangan kewangan," katanya.

No comments:

Post a Comment