Monday, March 11, 2013

Polis Panggil Dua Pengamal Media Beri Keterangan

Polis hari ini memanggil dua pengamal media untuk memberi keterangan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua yang dilihat cuba mempolitikkan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Editor Keadilan Daily, Fazallah Pit dan wartawan Keadilan Daily, Aisha Geoffery tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kira-kira pukul 2 petang dengan ditemani seorang peguam.

Fazallah berkata, mereka dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu polis dalam proses penyiasatan berkaitan kenyataan Tian Chua itu.

"Kami telah memberi keterangan dan bukti percakapan Tian Chua bersama wartawan kami yang berbentuk tulisan kepada polis,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur. Beliau berkata, kenyataan Tian Chua itu disalah tafsir oleh beberapa blog sehingga menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

Semalam, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis menerima 205 laporan berhubung kenyataan Tian Chua dan merakam sebanyak 140 percakapan.

"Kertas siasatan kes itu telah dibuat di Johor dan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah kerajaan,” katanya.

 Pada 1 Mac lepas, Portal KeadilanDaily, antara lain, memetik Tian Chua sebagai berkata, pencerobohan di Lahad Datu hanya sandiwara kerajaan untuk menakut-nakutkan rakyat, seolah-olah wujud suasana tidak aman di Sabah.

"Ada konspirasi oleh kerajaan UMNO untuk mengalih pandangan rakyat Sabah, terutama dalam isu pemberian kad pengenalan kepada warga asing,” Ahli Parlimen Batu itu dilaporkan berkata.

No comments:

Post a Comment