Beberapa buah bot sedang berlabuh di jeti Merang semalam. Jeti Merang yang merupakan pintu masuk pelancong ke Pulau Redang dan Pulau Lang Tengah bakal berwajah baru. |
Johan (tiga dari kanan) berbincang mengenai pelaksanaan projek yang bakal dilaksanakan di Jeti Merang. |
Projek yang akan dilaksana secara bersepadu antara Majlis Daerah Setiu (MDS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) itu akan bermula Oktober ini dan dijangka siap pada 2016 nanti.
Menurut Yang DiPertua MDS, Johan Ibrahim, peruntukan untuk menai ktaraf prasarana di jeti yang menjadi tumpuan pelancong itu diperoleh menerusi Kementerian Pelancongan berjumlah RM4.7 juta dan Kerajaan Negeri sebanyak RM10 juta.
“Melalui peruntukan yang diperoleh daripada Kementerian Pelancongan, kita memperuntukkan RM3 juta untuk bina kompleks jualan yang mengandungi ruang perniagaan, ruang menunggu, dataran ketibaan dan kaunter tiket.
“Selain itu kita juga akan menaik taraf tandas awam sedia ada dengan peruntukan sebanyak RM250,000, membina wakaf, bangku tempat duduk dan pondok menunggu bas melibatkan peruntukan berjumlah RM300,000, surau lelaki dan perempuan RM50,000, parkir kenderaan termasuk kereta dan bas serta laluan pejalan kaki berjumlah RM800,000 manakala RM300,000 untuk landskap dan pencahayaan di sekitar jeti,” katanya ketika pemberita ketika ditemui melawat tapak jeti pelancongan di Merang, semalam.
Menurut Johan, peruntukan yang diperoleh menerusi kerajaan negeri sejumlah RM10 juta pula akan digunakan untuk membina jeti terapung yang baru serta dataran di sepanjang sungai dalam usaha untuk menambah daya tarikan di jeti yang menjadi tumpuan pelancong untuk pulau ke tersohor di negeri ini iaitu Lang Tengah dan Redang.
“Peruntukan daripada Kementerian Pelancongan dan kerajaan negeri ini kita akan satukan dan menjadikan ia sebagai projek bersepadu, di mana kompleks jualan akan disekalikan dengan jeti supaya menjadi terminal lengkap, seperti mana lokasi pelancongan tersohor yang lain,” katanya.
Menurutnya, usaha untuk meningkatkan kemudahan di jeti pelancongan itu adalah untuk memberi lebih keselesaan dan tarikan kepada pelancong yang dianggarkan seramai satu juta akan memasuki kedua-dua pulau berkenaan sempena Tahun Melawat Terengganu 2013 (TMT 2013).
No comments:
Post a Comment