Thursday, March 21, 2013

Wang Tunai Dalam Kereta Lesap Ketika "Lepas Hajat'

Mangsa menunjukkan tempat isterinya meletakkan beg sebelum ia dilarikan pencuri. Gambar kecil : Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya
Sepasang peniaga berputih mata apabila barangan berharga termasuk wang tunai yang ditinggalkan dalam kereta di kawasan parkir luar pagar Masjid Sultanah Nur Zahirah Bandar Marang dikebas pencuri, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasangan berumur 47 dan 44 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Dungun sebelum singgah di lokasi kejadian untuk ‘melepaskan hajat’.

Menurut suami mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Syed, mereka berhenti untuk menggunakan tandas di masjid berkenaan dan selepas lebih kurang 10 minit, mereka terdengar penggera kereta berbunyi lalu kembali semula ke kereta.

“Hasil pemeriksaan, saya dapati tiada kerosakan berlaku pada kereta walaupun penggera berbunyi tetapi apabila membuka pintu kereta, saya dapati beg isteri diletakkan di bahagian tempat duduk hadapan hilang termasuk wang tunai berjumlah RM1,500.

“Pelbagai barangan berharga yang dianggarkan bernilai kira-kira RM10,000 termasuk dokumen penting diletakkan dalam beg dilarikan pencuri,” katanya.

Mangsa percaya suspek sudah merancang sebelum bertindak dan berkemungkinan gerak geri mereka diperhatikan sebelum mereka diekori sehingga tiba di masjid berkenaan. Susulan kejadian, mangsa membuat laporan di Balai Polis Marang.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan. Menurutnya, siasatan lanjut masih dilakukan dan polis kini giat memburu suspek terlibat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan iaitu mencuri dalam kenderaan,” katanya.

Susulan kejadian itu, beliau juga meminta pengguna jalan raya supaya tidak meninggalkan wang atau sebarang barang berharga dalam kenderaan kerana perbuatan seumpama itu akan membuka peluang kepada penjenayah.

SH Online

No comments:

Post a Comment