Thursday, March 7, 2013
RM4 Juta Untuk Pusat latihan Kemahiran TatiUC
Kementerian Sumber Manusia menyalurkan peruntukan RM4 juta kepada Kolej Universiti Tati (TATiUC) bagi tujuan membuka pusat latihan kemahiran.
Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Sumber Manusia Negeri, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pusat kemahiran itu bakal dibuka dan mula membuat pengambilan pelajar tahun ini.
“Ia memberi peluang kepada pelajar menjadikan pusat pengajian ini sebagai tempat mereka menimba ilmu dan mempelajari pelbagai bidang yang disediakan termasuk bidang teknologi maklumat, paip, elektrik dan sebagainya.
“Ia seiring menjadikan Terengganu sifar pelajar tidak ke pusat pengajian tinggi selepas tamat menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Buku Terengganu 2013 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di Kuala Terengganu, kelmarin.
Menurutnya, dalam masa setahun, lebih kurang 20,000 pelajar menduduki SPM dan STPM, maka dengan itu, mereka (pelajar) yang tidak berjaya ke pusat pengajian tinggi boleh memilih untuk ke pusat latihan di TATiUC.
"Dengan wujudnya pusat latihan ini juga mampu mengurangkan masalah sosial, sebab itu kita rancang untuk membuka sebanyak-banyaknya pusat latihan yang memberi peluang kepada golongan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Razif memuji penganjuran karnival buku kerana pelajar terutama siswazah dapat mengambil peluang mendapatkan pelbagai jenis buku yang sesuai dengan tahap pelajar universiti atau pra-u.
No comments:
Post a Comment