Thursday, March 14, 2013

Tawaran Istimewa Kepada Peminjam Yayasan Terengganu


Lebih 3,000 pelajar yang diberi pinjaman Yayasan Terengganu (YT) layak menikmati potongan 20 peratus jika membayar balik pinjaman itu secara penuh. Pada masa yang sama potongan 10 peratus diberi kepada peminjam yang membuat bayaran secara ansuran selama 12 bulan berturut-turut.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said, berkata, melalui tawaran istimewa itu juga mereka yang disenarai hitam juga layak menikmati tawaran itu yang berkuatkuasa mulai 1 April hingga 31 Disember 2013.

“Peminjam perlu mendapatkan pengesahan baki sebenar hutang masing-masing daripada YT sebelum membuat bayaran.

“Setiap pembayaran boleh dibuat melalui semua saluran yang telah ditetapkan. Penyata bayaran hendaklah dihantar ke YT melalui e-mail atau faksimili, kecuali bayaran secara tunai perlu dibuat di kaunter bayaran YT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, semalam.

Menurut Ahmad Said, pendekatan itu mampu menarik minat dan menggalakkan peminjam membayar balik hutang dan baki yang tertunggak.

“Apa yang dilaksanakan ini mengikut kaedah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang menawarkan kadar potongan sama,” katanya.

No comments:

Post a Comment