Thursday, March 14, 2013

Wisma Putra Kumpul Maklumat Dakwaan Pihak Ketiga Terbabit Pencerobohan Di Sabah

Anggota tentera Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertempur bagi memburu saki-baki pengganas Sulu pada hari kesembilan Op Daulat di Tungku,semalam.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman tidak menafikan pembabitan pihak ketiga dalam insiden pencerobohan Sabah oleh pengganas Sulu seperti dilaporkan akhbar Filipina baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berkata Wisma Putra akan mendapatkan maklumat terperinci daripada rakan sejawatannya bagi memulakan penyiasatan di negara ini untuk memastikan sama ada rakyat Malaysia menjadi dalang dalam mewujudkan ketidakstabilan berkenaan.

 "Saya telah meminta rakan sejawatan saya untuk terus memberi maklumat berkaitan apa yang dilapor akhbar Filipina berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga.

 "Beberapa diplomat dan duta turut mempersoal mengapa ia berlaku sekarang? Itu adalah soalan yang kerap ditanya ketika ini.

"Jadi, selain fokus dan keutamaan mencari penyelesaian masalah di Lahad Datu, pada masa yang sama, kita juga akan memulakan siasatan berhubung kemungkinan terdapat pembabitan pihak ketiga," katanya selepas sesi taklimat dengan kor diplomatik dan media berkaitan 'Operasi Daulat' semalam.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengarahkan pihak berkuasa risikan menyiasat dakwaan seorang pemimpin pembangkang mempunyai peranan dalam insiden pencerobohan bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Akhbar the Philippine Daily Inquirer menyiarkan artikel agensi berita Reuters yang memetik seorang pegawai tentera Filipina sebagai berkata pengganas terbabit ke Sabah atas jemputan seorang ahli politik dari parti pembangkang di Malaysia.

The Manila Times pula menyiarkan dakwaan pencerobohan itu ada kaitan dengan kempen pembangkang di Malaysia untuk melepas wilayah autonomi Sabah, jika mereka memenangi pilihan raya umum.

Bagaimanapun, Anifah berkata mesti ada bukti kukuh untuk memastikan kebenaran memandangkan dakwaan itu adalah sesuatu yang serius.

 Beliau menyifatkan kumpulan militan bersenjata terbabit bertindak kejam dengan melakukan keganasan serta menegaskan Malaysia tidak pernah mengiktiraf tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah atau mana-mana bahagian negeri di Malaysia.

No comments:

Post a Comment