Friday, March 29, 2013

TCS Galas Usaha Pacu Terengganu Maju 2020

Datuk Seri Ahmad Said meminta semua Pegawai Tadbir Negeri Terengganu (TCS) bersama-sama menggalas usaha bagi memacu Terengganu untuk muncul sebagai negeri maju menjelang 2020.

“Kerajaan negeri amat optimis dan komited untuk terus membangunkan Terengganu. Oleh itu, saya berharap semua TCS saling bergandingan dalam melaksanakan tanggungjawab dan peranan masing-masing dengan penuh etika bagi merealisasikan hasrat itu.

“Semua TCS perlu meningkatkan pencapaian dan prestasi bagi memastikan langkah menjadikan Terengganu sebagai negeri maju 2020 nanti tercapai,” katanya di Majlis Ramah Mesra Pegawai-Pegawa Tadbir Negeri Terengganu Bersama YAB Menteri Besar, di Hotel Permai Inn, Kuala Terengganu, malam semalam.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Abdul Razak Ismail; Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri, Datuk Tuan Mamat Tuan Ngah dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Datuk Mohd Azlan Dagang.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, Mohd Kamil Othman, semua pegawai daerah dan yang dipertua perbandaran daerah seluruh Terengganu.

Menteri Besar berkata, dalam situasi ekonomi dunia yang tidak menentu , Malaysia masih mampu mencatat pertumbuhan ekonomi 5.26 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun lalu.

“Tiada sebab untuk negara kita gagal mengekalkan pertumbuhan itu pada tahun ini berdasarkan perkembangan dan kemajuan ekonomi semasa negara yang turut memberi impak kepada pembangunan negeri.

“Malah, di Terengganu pada mutakhir ini dilihat sudah mampu bersaing dengan kemajuan ekonomi di Pantai Barat berdasarkan sumber dan mineral baru yang ditemui di perut bumi negeri ini,” katanya.

Beliau juga yakin pada lima tahun akan datang Terengganu mampu untuk mencapai Pelaburan Asing Langsung (FDI) sehingga RM25 bilion hasil pertumbuhan ekonomi dan pelbagai projek berskala besar termasuk pembinaan dua kompleks kilang besi pada tahun ini.

Teganukita

No comments:

Post a Comment