Friday, March 29, 2013

Ketengah Sasar 10,000 Pengunjung Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40

 Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) menyasarkan 10,000 orang pengunjung akan menghadiri program sambutan Hari Ketengah Ke-40 tahun penubuhannya bulan depan.

Pengurus Besarnya Wan Mat Amin Wan Daud berkata sambutan ulang tahun selama tiga hari bermula 11 hingga 13 April itu akan berlangsung di Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Katanya Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said akan merasmikan majlis perasmian sambutan pada 11 April, katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, semalam.

"Sambutan ulang tahun ini adalah untuk memperingati penubuhan Ketengah sejak 1973 yang mana dulu wilayah Ketengah hanyalah hutan belantara, tetapi kini Ketengah berjaya mewujudkan lima buah bandar baharu," katanya.

Bandar tersebut ialah Bandar Bukit Besi, Ketengah Jaya, Al Muktafi Billah Shah, Seri Bandi serta Cheneh Baharu dengan perbandaran serta pembangunan infrastruktur yang lengkap, katanya.

Pelbagai acara turut diatur antaranya pameran auto, demonstrasi produk usahawan seperti seramik dan canting batik, Forum Perdana, seminar kerjaya dan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan persembahan artis kebudayaan.

No comments:

Post a Comment