Monday, March 25, 2013

Terengganu Bayar Pampasan RM12 Juta Kepada 61 Pemilik Tanah

Kerajaan Terengganu membelanjakan kira-kira RM12 juta untuk membayar pampasan kepada 61 penduduk Kampung Jeram Hulu, Tepoh, yang tanah dan rumah mereka terlibat dalam pengambilan balik bagi pembinaan jalan baru antara kampung itu ke Banggol Donas sebelum menghubungkan kampung itu dengan Kuala Terengganu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, kerajaan membayar pampasan kepada mereka sejak dua tahun lepas dan masing-masing menerima antara RM100,000 dan RM500,000.

"Kerajaan tidak pernah menyusahkan rakyat kerana selain kita bagi pampasan yang sangat menarik kepada mereka yang terlibat, kerajaan juga menyediakan kawasan tapak perumahan yang baharu untuk mereka di Kampung Jeram Hulu di mana setiap lot dianggar bernilai RM60,000," katanya selepas merasmikan gelanggang futsal dan menyerahkan geran rumah serta tanah kepada penduduk terbabit.

Beliau berkata, kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.4 juta bagi pengambilan balik tanah untuk dijadikan kawasan penempatan baharu 61 keluarga terlibat.

"Kita juga meluluskan peruntukan sebanyak RM250,000 bagi membina jalan di penempatan baharu bagi kemudahan mereka manakala pembinaan longkang kita akan buat selepas pilihan raya nanti," katanya.

Sementara itu, Salleh Ahmad, 60, berkata, dia menerima pampasan lebih RM200,000.

"Walaupun rumah saya terlibat dengan pengambilan balik, namun saya tidak kisah kerana saya diberi pampasan lebih baik lagi. Dahlah begitu, saya diberi pula lot tanah seluas 425 meter persegi sebagai tapak rumah baharu yang akan saya bina tidak lama lagi," katanya.

Bagi ibu tunggal Zaharah Abu Bakar, 54, yang menerima geran bagi lot tapak rumah di Kampung Banggol Nyior, Gemuruh pula berkata kerajaan yang ada sekarang memang prihatin dan mengambil berat nasib rakyat.

Ibu tunggal sembilan anak itu turut menerima tanah seluas 525 meter persegi.

"Jasa kerajaan akan saya kenang, dan saya rasa terhutang budi di atas perhatian yang diberikan kerana sebelum ini, saya hanya tinggal menumpang di tanah orang," katanya sambil menambah beliau kini lega kerana sudah memiliki tanah sendiri.

No comments:

Post a Comment