Friday, March 29, 2013

Terengganu Dijangka Terima Pelaburan RM25 Bilion Tahun Ini

 

Terengganu dijangka menerima pelaburan RM25 bilion menerusi pelbagai projek berskala besar, termasuk pembinaan dua kompleks kilang besi di negeri itu pada tahun ini.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata satu perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat dari China yang bersetuju melabur RM15 bilion akan diadakan bulan depan.

"Pelaburan untuk membina kompleks kilang besi itu nanti dijangka menyediakan 5,000 peluang pekerjaan."

"Selain itu, satu lagi syarikat juga dijangka melabur RM10 bilion untuk membina satu lagi kilang besi dan perinciannya akan diketahui dalam tempoh terdekat nanti," katanya ketika merasmikan Terowong Kemajuan di Kuala Terengganu, semalam.


Terengganu juga, katanya, adalah negeri ketiga yang menerima pelaburan asing langsung (FDI) terbesar di Malaysia pada tahun lepas, dengan pelaburan RM13.4 bilion.

Ahmad berkata terdapat penemuan tiga kawasan bijih besi baru di negeri itu yang bernilai trilion dolar. Bagaimana pun, beliau enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai penemuan itu.

"Dengan keistimewaan bentuk muka bumi Terengganu yang masih terpelihara dengan pelbagai khazanah dan kaya dengan sumber galian asli ini, ia mampu menarik lebih banyak pelabur ke negeri ini.

"Kerajaan negeri akan terus menyediakan pelbagai kemudahan dan menaik taraf infrastruktur sedia ada untuk keselesaan pelabur menjalankan operasinya di sini dalam pelbagai bidang, termasuk perindustrian, akuakultur dan pelancongan," katanya.

No comments:

Post a Comment