Friday, March 1, 2013

YIT Perkasa Pendidikan Islam

Yayasan Islam Terengganu (YIT) sedang membuat penambahbaikan dalam bidang pendidikan khususnya di sekolah aliran agama di bawah kelolaannya sebagai pelaburan jangka panjang untuk generasi akan datang.

Pengarahnya, Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata, salah satunya ialah perlaksanaan fasa kedua Institut Pendidikan Islam (Inspi) di Kemaman yang sedang berjalan dan dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

“Projek berkenaan membabitkan pembinaan asrama puteri, dewan makan dan dewan serbaguna dengan peruntukan berjumlah RM5 juta,” katanya dalam sidang media di Permai Inn baru-baru ini.

Katanya, apabila fasa kedua ini siap, projek fasa ketiga iaitu fasa akhir akan disambung yang turut membabitkan peruntukan RM5 juta.

Tambahnya sehingga ini terdapat 300 pelajar lepasan UPSR sedang menuntut di Inspi dan jika mendapat keputusan cemerlang mereka berpeluang menyambung pengajian di universiti tempatan dan luar negara seperti Jordan.

Menurut Md Kamarul, apabila siap bangunan baru kelak ia dijangka boleh menampung 1,000 pelajar dan pelajar di Inspi menerima biasiswa RM100 sebulan.

Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM5.5 juta untuk pembinaan fasa pertama Pondok Darul Iman (PDI) di Kampung Pelandan, Hulu Terengganu tahun ini.

“Tapak asalnya merupa tanah yang telah di wakafkan oleh masyarakat di kampung berkenaan dengan keluasan satu hektar dan telah digunakan sejak 2010 dengan menempatkan 100 pelajar lepasan UPSR,” katanya.

Menurutnya, YIT juga telah selesai membuat urusan pembelian tanah seluas 3.6 hektar disekitar kawasan berkenaan untuk tanaman kelapa sawit dan rambutan.

Katanya, dalam fasa pertama akan dibangunkan bangunan akademik dan fasa kedua bangunan asrama dan dewan makan dan kos bagi tiga fasa berkenaan dianggarkan RM20 juta dan dijangka siap sepenuhnya pada akhir tahun depan.

Teganukita

1 comment:

  1. salam.saya nak komen sedikit tentang Proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah PONDOK DARUL IMan tersebut.kenapa kalau bila minggu balik,pagi khamis tu mmg p&P sudah tidak berjalan.bagaimana jadual P&P yang sepatutnya.saya inginkan kepastian.
    wassalam.

    ReplyDelete