Seramai 157 pegawai tadbir agama daerah (PTAD) bakal menikmati kenaikan gred setelah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersetuju memperkukuh dan menambah baik gred perjawatan PTAD di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata proses menaik taraf gred itu akan melibatkan dua model yang dibahagi berdasarkan beberapa kriteria.
"Setelah sekian lama PTAD berada dalam perjawatan sedemikian, JPA meluluskan peningkatan perjawatan baharu berdasarkan dua model.
Model pertama terdiri daripada seorang pegawai gred S48 dibantu petugas gred S44, S41, S38 dan S32, manakala model kedua terdiri daripada seorang pegawai gred S44 dibantu petugas gred S38, S32 dan S27.
"Lima kategori diambil kira bagi pemilihan model termasuk bilangan penduduk Islam di daerah; bilangan urusan nikah, cerai dan rujuk serta kaunseling yang dijalankan; bilangan aduan, aktiviti penguatkuasaan dan kertas siasatan yang dikendalikan; bilangan masjid, surau, sekolah agama yang dipantau dan tanah perkuburan di daerah; serta keluasan daerah," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pengurusan Hal Ehwal Islam di Gurun, semalam.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah Datuk Noh Dahaya.
Jamil Khir berkata proses menaik taraf gred perjawatan PTAD akan dilaksana dalam masa terdekat, yang secara tidak langsung mewujudkan peluang kerjaya dan petugas baharu dapat diambil.
"Sekarang ini terdapat 157 petugas dan ia dijangka meningkat kepada 388 orang selepas penaiktarafan dijalankan.
"Ini belum termasuk Sabah, Sarawak, Perlis dan Wilayah Persekutuan, saya yakin kalau ditambah negeri-negeri ini, jumlah keseluruhan petugas yang mengisi jawatan PTAD melebihi 500 orang.
"Bila sudah lulus, ia akan dilaksana secepat mungkin, cuma untuk mengharmonikan, kita minta yang senior diutamakan dahulu untuk mengisi perjawatan di daerah besar, namun begitu, masih ada ruang untuk mereka yang cemerlang," katanya.
No comments:
Post a Comment