Friday, April 19, 2013
Bersatu Hati, Berpadu Tenaga Tebus Kekalahan Di Parlimen, DUN Kuala Terengganu
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyeru semua jentera parti di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen Kuala Terengganu bersatu hati, berpadu tenaga dan membuang rasa amarah supaya dapat menebus kembali kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) lalu.
“Rezeki (dicalonkan) ini ditentukan oleh Allah s.w.t,. Mungkin hari ini adalah rezeki mereka yang berdiri di hadapan tuan-puan ini untuk menjadi calon. Mungkin juga esok giliran tuan-puan di hadapan saya pula untuk berdiri di sini.
"Insya-Allah dengan semangat dan keikhlasan semua pihak dan jentera parti, kita mampu untuk mencipta kemustahilan dengan memenangi semua DUN dan Parlimen Kuala Terengganu,” katanya pada Majlis Temu Mesra Calon-Calon Parlimen Kuala Terengganu dengan semua jentera pilihan raya parlimen, di Perkarangan Pejabat Umno DUN Ladang, semalam.
Hadir sama, calon Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Zubir Embong; Wan Mahyuddin Wan Ngah (Wakaf Mempelam); Datuk Toh Chin Yaw (Bandar); Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (Ladang) dan Datuk Che Mat Jusoh (Batu Buruk).
Ahmad Said berkata, sekiranya semua pihak akur dan redha dengan ketentuan Allah s.w.t,, pastinya akan dapat membuang rasa tidak puas hati dan amarah serta mengikat semula hubungan persaudaraan dan bersatu demi mempertahankan maruah dan perjuangan parti.
Majlis turut dihadiri hampir 2,000 petugas jentera termasuk parti komponen dilihat sebagai petanda awal bahawa Kuala Terengganu mampu ditawan semula dari tangan Pas.
Malah, kebanyakan petugas jentera parti memberi keyakinan bahawa inilah masanya paling tepat untuk membuktikan kerja-keras dan semangat perjuangan demi agama, bangsa dan negara dapat dizahirkan dengan kejayaan mengekalkan DUN Bandar, selain merampas semula Parlimen Kuala Terengganu, DUN Ladang, Wakaf Mempelam dan Batu Buruk pada PRU13 ini.
No comments:
Post a Comment