Thursday, April 18, 2013

40 Pelajar YIT Lanjut Pelajaran Ke Indonesia 15 April

Empat puluh pelajar lepasan Institut Pendidikan Islam (Ispen) Binjai, Kemaman akan melanjutkan pelajaran ke Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sumatera Utara, Medan dan Universiti Islam Negeri Sultan Syarif Kasim (Uinsuska), Riau, Indonesia tahun ini.

Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Md Kamarul Al-Amin Ismail berkata 20 pelajar masing-masing akan belajar di IAIN dan Uinsuska di bawah tajaan kerajaan negeri.

Beliau berkata semalam, IAIN akan menerima kumpulan pertama pelajar dari Terengganu berikutan perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai antara YIT dan IAIN Februari lepas.

Bagi Uinsuska pula, ini merupakan tahun keempat institusi itu menerima pelajar dari Ispen dan pada masa ini terdapat 70 pelajar dari Ispen belajar di sana. Katanya antara lain pelajar terbabit akan mengikuti pengajian dalam bidang syariah seperti dakwah dan usuluddin meliputi tempoh empat tahun.

Dalam perkembangan lain, Md Kamarul Al-Amin berkata YIT akan menerima masuk 10 pelajar dari Kemboja di Pondok Darul Iman Hulu Terengganu dan Institut Pendidikan Islam Binjai Kemaman, tahun ini.

"Kita akan meminta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu untuk menaja pelajar ini melalui peruntukan wang zakat," katanya. Beliau berkata pelajar berumur 13 hingga 17 tahun akan ditempatkan di Pondok Darul Iman manakala pelajar berumur 18 dan 20 tahun pula di Institut Pendidikan Islam Binjai.

No comments:

Post a Comment