Wednesday, April 3, 2013

Adnan - Pencalonan Fauzi Tidak Goyah Semangat Bn Rampas Indera Mahkota

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan dikatakan akan bertanding di Terengganu.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata pencalonan pengerusi Perhubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman untuk bertanding kerusi Parlimen Indera Mahkota di Kuantan tidak akan menggoyahkan semangat Barisan Nasional (BN) untuk merampas kembali kerusi itu.

Beliau yakin BN boleh memenangi kembali Indera Mahkota dengan meletakkan calon yang tepat dan berpotensi.

"Datuk Fauzi adalah seorang yang sangat berpengalaman dan bekas ahli BN, tetapi...sokongan untuk beliau kini telah berkurangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek perpustakaan awam negeri di Kemunting semalam.

Sabtu lepas ketika berceramah di Balok Makmur, dekat Kuantan, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Fauzi sebagai calon parti itu di Parlimen Indera Mahkota pada pilihan raya umum ke-13 nanti, menggantikan penyandang Azan Ismail, yang akan bertanding di Terengganu.

Pada pilihan raya umum 2008, Azan mengalahkan calon BN, Salamon Ali Rizal Abdul Rahman dengan majoriti 1,027 undi. Fauzi pernah menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dari 1997 hingga 1999 dan pernah menjadi Ketua Bahagian Umno Kuantan.

Pada 23 Julai 2008, Fauzi mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PKR. Adnan berkata pencalonan itu juga bukanlah sesuatu yang mengejutkan, namun tidak mengambil perkara itu dengan remeh sebaliknya fokus akan diberikan dalam memastikan perpaduan di kalangan anggota BN terus kental.

No comments:

Post a Comment